Penganjur RXZ Members Terengganu puji keramahan rakyat Melaka, saran penambahbaikan bagi yang ingkar peraturan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganjur RXZ Members Terengganu puji keramahan rakyat Melaka, saran penambahbaikan bagi yang ingkar peraturan

Gambar FB RXZ Members - Official
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 15 Dis – Penganjuran RXZ Members Ride 3.0 yang berlangsung di Melaka pada Jumaat dan Sabtu baru-baru ini disifatkan sebagai antara program yang paling meriah dengan keramahan penduduk negeri itu yang menyambut baik kedatangan komuniti RXZ dari seluruh negara.

 

Penganjur RXZ Members Terengganu, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, kira-kira 1,000 pemilik RXZ berkampung selama dua hari di Melaka untuk turut memeriahkan acara berkenaan.

 

Beliau berkata, sambutan yang diterima amat positif sama seperti tradisi penduduk Terengganu antaranya mengadakan pelbagai kempen promosi perniagaan untuk komuniti RXZ dan ramai yang membuat jamuan untuk mengalu-alukan kedatangan mereka ke Melaka.

 

“Suasananya sangat harmoni kerana penduduk Melaka memang baik, mesra dan menyifatkan penganjuran program itu sebagai sebahagian daripada pemacu ekonomi dan pelancongan.

 

“Namun, saya mewakili komuniti RXZ Terengganu meminta maaf andai ada perbuatan segelintir dari yang hadir tidak mematuhi peraturan jalan raya dan ini memang tidak sepatutnya berlaku.

 

“Malah, persatuan dan kelab permotoran RXZ di setiap negeri sentiasa berhubung untuk memberi nasihat berhubung perkara ini kepada peserta program kerana tidak mahu ia berlaku,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

t

 

Semalam, media melaporkan, DAP Melaka menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk penganjuran acara yang menggalakkan atau membiarkan perbuatan melanggar undang-undang.

 

Pengerusinya, Khoo Poay Tiong berkata, program RXZ Members Ride 3.0 yang diadakan di Melaka telah memberi kesan serius terhadap rutin harian penduduk, ketenteraman awam serta keselamatan jalan raya.

 

Beliau mendakwa, penduduk Melaka mengadu mengenai aktiviti menunggang motosikal pada kelajuan tinggi dan pencemaran bunyi, terutama pada lewat malam sehingga menimbulkan gangguan.

 

Selain itu, pergerakan kumpulan besar penunggang RXZ di kawasan bandar turut meninggalkan persepsi negatif kepada pelancong dan sekali gus menjejaskan imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.

 

Ditanya mengenai dakwaan tersebut, Mohamad Faizal berkata, perkara itu boleh diatasi dengan beberapa penambahbaikan untuk memastikan situasi menang-menang kepada semua pihak.

 

“Memang kita tak nafikan pada peringkat awal penganjuran RXZ Members di Terengganu pun ada aduan seumpama ini, namun kerjasama rapat dengan pihak berkuasa sangat membantu program ini berjalan lancar.

 

“Selepas tahun keempat program, penganjuran RXZ Members mula diiktiraf sebagai salah satu acara pelancongan sukan yang turut menyumbang kepada peningkatan sosio ekonomi setempat.

 

“Setiap tahun, kami akan melakukan pelbagai penambahbaikan agar RXZ Members di Terengganu sentiasa menjadi aktiviti tahunan yang dinanti-nantikan semua pihak,” katanya.

 

t

 

t

 

Beliau turut menegaskan bahawa tidak semua peserta melanggar peraturan sepanjang acara berlangsung, sebaliknya majoriti hadir dengan niat yang baik dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

 

Katanya, tindakan segelintir individu tidak seharusnya mencemarkan imej keseluruhan komuniti RXZ yang selama ini aktif dalam aktiviti berfaedah.

 

Sehubungan itu, beliau berharap komuniti RXZ di seluruh negara terus menunjukkan contoh teladan yang baik melalui penglibatan dalam hobi secara berhemah dan berdisiplin.

 

Menurutnya, aktiviti sebegini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama ahli komuniti, malah mampu menyumbang kepada penjanaan ekonomi setempat.

 

Beliau berkata, perhimpunan berskala besar seperti ini memberi kesan positif kepada sektor pelancongan, perniagaan kecil serta industri sokongan berkaitan sukan permotoran.

 

“Hotel, kedai makan, bengkel dan peniaga kecil turut mendapat manfaat apabila ribuan pengunjung hadir ke sesebuah lokasi,” katanya. - DagangNews.com