Kos pembangunan lima empangan hidro baharu di Sarawak boleh mencecah sehingga RM25.6 billion - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos pembangunan lima empangan hidro baharu di Sarawak boleh mencecah sehingga RM25.6 billion - RHB Research

(Gambar Hiasan)
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Feb – Kos pembangunan lima empangan hidro baharu di bawah inisiatif Cascading Power Sources (CPS) di Sarawak dianggarkan mencecah antara RM12.4 bilion hingga RM25.6 bilion, berdasarkan penanda aras projek empangan berperingkat di Eropah dan Vietnam, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah itu adalah berdasarkan anggaran kos pelaburan bagi empangan CPS adalah sekitar RM8 juta hingga RM13 juta bagi setiap megawatt (MW) kapasiti.

 

Lima lembangan sungai yang dikenal pasti bagi pelaksanaan CPS di Sarawak mempunyai potensi kapasiti keseluruhan antara 1,550MW hingga 1,970MW.

 

 

 

 

 

"Sehubungan itu, dengan mengambil kira julat kos per MW berkenaan, jumlah pelaburan minimum bagi membangunkan kesemua projek tersebut dianggarkan sekitar RM12.4 bilion, manakala kos maksimum boleh mencecah RM25.6 billion," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Media sebelum ini melaporkan lebih 100 peserta termasuk Gamuda Bhd hadir secara fizikal dan dalam talian sebaik permintaan cadangan (RFP) bagi pembinaan lima empangan hidro berkenaan dibuka oleh Sarawak Energy Bhd (SEB).

 

Mengulas kehadiran Gamuda, RHB Research berkata, penyertaan Gamuda bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan kumpulan itu mempunyai rekod kukuh dalam projek infrastruktur di Sarawak seperti Lebuh Raya Pan Borneo, Jambatan Batang Lupar dan Lebuh Raya Pesisir Utara.

 

Selain itu, Gamuda juga kini terlibat dalam projek berkaitan empangan termasuk projek Hidroelektrik Ulu Padas di Sabah, sekali gus mengukuhkan kepakarannya dalam segmen berkenaan. 

 

"Kami terus menyukai Gamuda berikutan kepelbagaian portfolio tenaga boleh baharu (RE) merangkumi projek solar, ladang angin darat, empangan hidroelektrik serta potensi projek hidro pam simpan.

 

"Langkah mempelbagaikan sumber pendapatan itu dijangka mampu mengimbangi sebarang kelembapan dalam segmen infrastruktur pengangkutan," katanya.

 

Dari segi penilaian, saham Gamuda kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 18 kali bagi unjuran FY27F, sedikit lebih tinggi berbanding Indeks Pembinaan Bursa Malaysia yang mencatat 16 hingga 17 kali P/E ketika kitaran peningkatan sektor pembinaan pada 2016 hingga 2017.

 

Situasi itu dianggap RHB sebagai wajar memandangkan ketiadaan projek Australia dan pusat data pada tempoh tersebut.

 

Sehubungan itu RHB mengekalkan saranan BELI dan harga sasaran (TP) RM6.26 (potensi kenaikan 51%), dengan anggaran hasil FY27F (Julai) sekitar 2%.

 

Sementara ituu RHB berkata, pelaksanaan inisiatif CPS dilihat penting bagi menyokong keperluan kapasiti penjanaan tenaga Sarawak yang semakin meningkat, sejajar sasaran pembangunan jangka panjang negeri itu.

 

Ketika ini, kapasiti penjanaan semasa Sarawak adalah sekitar 5.9GW dan berada di landasan untuk mencapai 10GW menjelang 2030. 

 

Namun, bagi memenuhi permintaan industri serta pertumbuhan ekonomi, negeri itu memerlukan sehingga 15GW kapasiti penjanaan menjelang 2035.

 

Dalam masa sama, sekurang-kurangnya 60% daripada kapasiti tersebut perlu datang daripada sumber tenaga boleh baharu (RE), selaras komitmen peralihan tenaga hijau.

 

Pada 2025, tenaga hidro menyumbang kira-kira 3.6GW atau 60.4% daripada keseluruhan kapasiti penjanaan negeri. 

 

Menjelang 2035, kapasiti hidro dijangka meningkat kepada 5.8GW, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga hijau serantau.

 

 

 

 

 

 

Sehubungan itu, sebanyak 12 lembangan sungai yang mempunyai potensi pembangunan CPS dengan kapasiti keseluruhan sekitar 3GW telah dikenal pasti.

 

Buat masa ini, tumpuan diberikan kepada lima lembangan sungai utama yang disenaraikan dalam RFP, sebagai langkah awal mempercepatkan pembangunan kapasiti tenaga boleh baharu bagi memenuhi sasaran jangka panjang negeri. - DagangNews.com