KUALA LUMPUR 4 Sept – Sebanyak 17 projek perumahan swasta terbengkalai berlesen di Kelantan direkodkan setakat 31 Julai 2025, menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Kementerian itu memaklumkan, 17 projek itu melibatkan 1,125 unit rumah dengan 1,039 pembeli terkesan dan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM106.5 juta.
“Daripada jumlah itu, sebanyak enam projek terbengkalai di Parlimen Machang, empat di Tanah Merah, dua di Pasir Mas dan Ketereh serta masing-masing satu projek di Kota Bharu, Jeli dan Gua Musang.
“KPKT sedang dalam proses memulihkan tujuh projek melalui pelbagai kaedah intervensi termasuk empat di Machang serta masing-masing satu di Pasir Mas, Kota Bharu dan Jeli.
“Baki 10 projek lagi dalam proses penentuan hala tuju terbaik sebelum pemulihan dapat dijalankan,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis berhubung soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang meminta penjelasan mengenai status projek perumahan terbengkalai di Kelantan serta langkah kementerian untuk memulihkannya secara berfasa di Dewan Negara.
Dalam pada itu, KPKT berkata, di seluruh Semenanjung Malaysia, terdapat 109 projek perumahan terbengkalai berlesen membabitkan 30,027 unit rumah dan 15,580 pembeli, dengan GDV mencecah RM12.95 bilion.
“Usaha pemulihan projek terbengkalai dilaksanakan melalui Task Force Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang berperanan sebagai mediator antara pembeli, pemaju asal, pemaju penyelamat atau pelikuidasi bagi memastikan projek disiapkan sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
“Tempoh pemulihan biasanya mengambil masa satu hingga lima tahun bergantung kepada kompleksiti isu.
“TFST turut mengadakan libat urus dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal serta pemaju bagi mencari penyelesaian konstruktif,” kata KPKT.
Usaha ini sejajar dengan prinsip Kerajaan MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat serta memastikan hak pembeli terus dilindungi melalui penyediaan perumahan berkualiti. - DagangNews.com








