KUALA LUMPUR 29 Mei - Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) menubuhkan seksyen terbaharunya iaitu Infrastruktur Digital bagi memupuk kerjasama dan inovasi dalam ekosistem digital Malaysia.
Seksyen Infrastruktur Digital merupakan seksyen kelapan PIKOM yang mana setiap satu mewakili pelbagai bahagian dalam industri teknologi.
Seksyen terbaharu PIKOM ini bakal memfokuskan kepada pusat data, telekomunikasi dan infrastruktur digital yang berkaitan dan bakal menghimpunkan pakar industri untuk menyokong dasar yang akan memacu ekonomi digital Malaysia.
Pengerusi Bab Infrastruktur Digital PIKOM, Wing K. Lee berkata, pusat data bersedia untuk menjadi nod pengkomputeran masa depan dan Malaysia telah muncul sebagai hab serantau untuk pelaburan pusat data.
"Ketika kita melangkah ke era AI, industri pusat data di Malaysia akan berfungsi sebagai pemangkin yang kuat kepada transformasi ekonomi dan menawarkan potensi besar untuk menarik FDI dan mencipta pekerjaan bernilai tinggi," katanya yang juga CEO YTL Comunications Sdn Bhd.
Seksyen ini bertujuan menangani isu dan peluang kritikal dalam sektor infrastruktur digital seperti insentif kerajaan untuk pemain tempatan dan antarabangsa, klasifikasi tarif tenaga dan penggunaan sumber boleh diperbaharui, bersama-sama dengan inisiatif untuk mengembangkan kumpulan bakat negara melalui pembangunan kurikulum universiti dan program latihan.
Aktiviti utama Seksyen Infrastruktur Digital merangkumi mesyuarat ahli suku tahunan untuk rangkaian dan pertukaran idea, mempromosikan amalan terbaik, memudahkan peluang pembelajaran dan menyokong kedudukan kepimpinan serantau Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: PIKOM saran pelaksanaan NIMP 2030 libatkan pemain industri teknologi
Inisiatif ini direka dengan teliti untuk memupuk industri yang dinamik dan meneroka fasa pertumbuhan seterusnya untuk ekonomi digital Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi PIKOM, Ong Chin Seong berkata, penubuhan seksyen ini adalah bukti komitmen PIKOM yang tidak berbelah bahagi untuk memacu inovasi dan pertumbuhan dalam ekonomi digital Malaysia.
"Dengan menghimpunkan pemimpin industri dan pakar, kami mewujudkan platform kerjasama untuk memacu perubahan positif dan memacu Malaysia ke tahap baharu kecemerlangan digital," ujarnya.- DagangNews.com








