Pikas: Lebih 2 juta pekerja sektor pembuatan akan divaksin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pikas: Lebih 2 juta pekerja sektor pembuatan akan divaksin

Mohamed Azmin Ali. Kredit gambar Twitter Azmin Ali.

KUALA LUMPUR 16 Jun - Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) meletakkan sasaran untuk memberi vaksinasi kepada kira-kira 2.25 juta pekerja sektor pembuatan.

 

Bagi mencapai sasaran berkenaan, Pikas dilaksanakan secara berperingkat melibatkan 150,000 dos vaksin bagi fasa pertama dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

 

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dengan pelaksanaan tersebut, pekerja barisan hadapan ekonomi itu akan dilindungi daripada wabak COVID-19 sekali gus melancarkan pemulihan ekonomi negara.

 

"Mengikut statistik suku pertama 2021 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kita ada 2.25 juta pekerja dalam sektor pembuatan. Saya percaya bekalan vaksin yang mencukupi dapat memenuhi keperluan ini.

 

"Apabila kita mencapai fasa tertentu dalam Pelan Pemulihan Negara, kita perlu membuka lebih banyak sektor ekonomi secara berperingkat.

 

"Apabila lebih banyak sektor ekonomi dibuka, pekerja perlu datang bekerja, maka kita mahu lindungi keselamatan pekerja menerusi Pikas," katanya dalam sidang media pelancaran Pikas seperti dilapor Berita Harian. 

 

Majlis pelancaran Pikas turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

 

Selain Selangor, program Pikas yang memfokuskan kepada industri pembuatan itu turut dilancarkan serentak di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

 

Hingga kini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerima permohonan lebih 500 syarikat membabitkan 106,000 pekerja untuk menyertai Pikas.

 

Mengulas lanjut, beliau memberi keyakinan bahawa jumlah dos vaksin yang diperuntukkan di Pikas itu akan ditingkatkan apabila lebih banyak bekalan vaksin diterima.

 

Selain itu, pelaksanaan Pikas sama sekali tidak akan mengganggu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang memberi keutamaan tetap pada golongan berisiko, orang kurang upaya dan orang awam. - DagangNews.com