PIDM tawar hadiah iPhone 15 Plus, MacBook Air melalui Cabaran FinFit mulai 1 hingga 28 Oktober ini | DagangNews Skip to main content

PIDM tawar hadiah iPhone 15 Plus, MacBook Air melalui Cabaran FinFit mulai 1 hingga 28 Oktober ini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Sept - Cabaran FinFit (Financial Fitness) anjuran Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) kini kembali yang bertujuan memupuk tabiat kewangan positif dalam kalangan peserta. 

 

Ia mula diperkenalkan pada 2021 melalui kumpulan Facebook PIDM FinFit Challenge yang telah menarik lebih 3,000 peserta berdaftar.

 

Cabaran FinFit 2023 akan bermula 1 Oktober bersempena dengan Bulan Celik Kewangan Kebangsaan, iaitu inisiatif tahunan anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan bagi menyediakan sokongan pendidikan kewangan dan intervensi dalam membimbing rakyat Malaysia ke arah kesejahteraan kewangan.

 

Naib Presiden Eksekutif PIDM, Wan Ahmad Ikram Wan Ahmad Lotfi berkata, keakraban dan semangat keazaman yang dikongsi peserta dari cabaran-cabaran lepas sangat berinspirasi. 

 

"Mereka membentuk komuniti yang saling menyokong dan menggalakkan satu sama lain untuk mengamalkan pengurusan kewangan baik yang mampan. 

 

"PIDM berhasrat dan berharap agar sikap dan nilai-nilai tersebut dapat diteruskan dalam Cabaran FinFit 2023 dalam membentuk komuniti yang saling menyokong dan berazam untuk mengamalkan tabiat kewangan positif," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Cabaran FinFit PIDM akan membawakan siri cabaran harian yang mudah bagi menekankan mesej bahawa setiap usaha walau sekecil mana, apabila dilaksanakan secara konsisten, boleh mengubah tabiat kewangan seseorang menjadi lebih baik secara beransur-ansur.

 

 

PIDM

 

 

Cabaran ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Para peserta mesti mengikuti akaun Instagram Chief BerUang (@chief.beruang) dan FEN (@myfenetwork), dan memuatnaik gambar atau video ke Instagram sebagai penyertaan berserta tanda pagar #FinFit2023. 

 

Peserta juga perlu menetapkan profil Instagram kepada status ‘awam’ untuk membolehkan penyertaan mereka diadili, dan melengkapkan sekurang-kurangnya 10 cabaran harian untuk layak ke pusingan ‘Kuiz Kilat’ pada 22 Oktober. 

 

Sebanyak 100 peserta dengan markah terbanyak daripada 'Kuiz Kilat' akan bersaing dalam cabaran akhir iaitu 'Pentas Akhir FinFit' pada 28 Oktober.

 

Hadiah-hadiah menarik seperti sebuah iPhone 15 Plus 256GB, sebuah MacBook Air 13” 256GB, sebuah iPad Air 128 GB dan 30 baucar beli-belah Lazada bernilai RM50 menanti para pemenang.

 

Orang ramai juga boleh bertemu dengan Chief BerUang, ikon pengurusan kewangan baik PIDM di reruai PIDM sekitar pavilion FEN semasa acara Minggu Saham Amanah Malaysia di Setia Fontaines, Bertam, Pulau Pinang pada 30 September hingga 2 Oktober. - DagangNews.com