PHSAM anjur pameran Audi Experience di Sentul Depot pada 15 dan 16 Oktober 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PHSAM anjur pameran Audi Experience di Sentul Depot pada 15 dan 16 Oktober 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Okt - PHS Automotive Malaysia (PHSAM) mempelawa orang ramai untuk mengunjungi pameran 'Audi Experience' yang bakal berlangsung pada 15 dan 16 Oktober di Sentul Depot di sini.

 

Pameran itu menampilkan portfolio terkini jentera berprestasi tinggi, sedan, sportback dan SUV mewah Audi untuk memberikan pengalaman yang cukup mengasyikkan kepada para pengunjung. 

 

Orang ramai boleh melihat gaya luaran dan dalaman luar biasa model A3 Sedan dan RS 3 Sedan. Tidak ketinggalan model A5 Sportback yang versatil dan telah diperhalusi, serta Q8 yang menggabungkan gayaan elegan coupe mewah empat pintu dengan praktikaliti dan versatiliti sebuah SUV.  

 

A3 Sedan baru sahaja dilancarkan ke pasaran Malaysia. Ia menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan bersama bahasa rekaan baharu yeng menyerlah dan pelbagai teknologi termaju, sekali gus mendefinisikan kembali segmen sedan kompak mewah.  

 

Model lebih berkuasa RS 3 juga dibuka untuk tempahan. Jentera itu menawarkan pengendalian dinamik dan kelincahan luar biasa, enjin lima silinder penuh kuasa dan pecutan 0 ke 100km/j dalam masa hanya 3.8 saat pasti memberi keterujaan kepada pemanduan harian. 

 

Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter berkata, matlamat mereka adalah untuk meluaskan pilihan model-model Audi yang memenangi anugerah di Malaysia. 

 

"Seterusnya memenuhi permintaan terhadap kereta mewah berprestasi tinggi,  pada masa sama ingin meningkatkan pertumbuhan pasaran di Malaysia dengan menawarkan pengalaman pemanduan yang mengujakan. 

 

 

audi

 

 

"Model-model ini terus mendapat perhatian daripada para peminat dan kami berbesar hati untuk mempamer dan menawarkan sesi pandu uji sepanjang pameran Audi Experience ini berlangsung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sesi pandu uji model A5 Sportback dan the Q5 Sportback turut disediakan, sekaligus membolehkan orang ramai untuk menikmati kemewahan dan teknologi yang ada pada sebuah Audi. - DagangNews.com