KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) hari ini lantik Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa 16 Ogos 2024 susulan persaraan Tan Sri Ahmad Nizam Salleh pada awal bulan Ogos.
Tan Sri Arshad membawa pengalaman luas dalam bidang korporat, beliau merupakan ahli Felo Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW) dan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), di mana beliau berkhidmat dalam majlisnya selama 24 tahun, tiga daripadanya sebagai presiden.
Selain daripada peranannya dalam bidang korporat, Tan Sri Arshad juga memegang jawatan penting dalam insitiusi kebajikan.
Beliau merupakan Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor; Yayasan Amir; Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda dan Yayasan TZA.
Menurut kenyataan hari ini, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, pengalaman luas beliau dalam pengurusan korporat dan kepimpinan institusi akan menjadi aset yang amat berharga dalam memajukan mandat PHB.
"Kami yakin pengalaman beliau akan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pemilikan aset hartanah komersial utama di Malaysia melalui pengurusan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), sebuah dana amanah patuh Syariah," ujar Mohamad Damshal.
Tan Sri Arshad sebelum ini telah berkhidmat sebagai Pengerusi Ekuiti Nasional Berhad; Maxis Berhad; Icon Offshore Berhad; Danamodal Nasional Berhad dan pengarah Khazanah Nasional Berhad.
Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia; Pengerusi Pasukan Kepimpinan PwC Asia 7 danAhli Lembaga IFS Global PwC.
Sementara itu, beliau juga telah menyumbang dalam sektor awam menerusi jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia; ahli Majlis Penasihat Piawaian Lembaga Piawaian Perakaunan Antarabangsa; serta ahli Suruhanjaya Sekuriti Malaysia; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia; Panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Lembaga Pemegang Amanah Balai Seni Negara.- DagangNews.com








