Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 April - Syarikat farmaseutikal, Pharmaniaga Berhad dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) bakal membangunkan dan melatih usahawan bumiputera dalam bidang perubatan, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan.
Kerjasama itu dimeterai menerusi perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak pada hari ini, menurut Pharmaniaga dalam maklumannya di Bursa Malaysia.
Pharmaniaga memberitahu, MoU dan kerjasama itu dipertimbangkan sebagai sebuah platform untuk, antaranya menyediakan kontrak pembiayaan kepada vendor atau usahawan bumiputera yang layak.
“...Menyediakan latihan perniagaan kepada vendor atau usahawan bumiputera, pembangunan modal insan menerusi pendidikan teknikal dan vokasional serta latihan menerusi kerjasama di bawah Projek Strategik Berimpak Tinggi Pharmaniaga.
“Kerjasama Berpotensi juga akan menyokong usahawan dalam industri itu di sepanjang rantai bekalan dan mewujudkan ekosistem mampan, di samping memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti bumiputera di Malaysia,” jelas Pharmaniaga.
Bagi mewujudkan Kerjasama Berpotensi, kedua-dua pihak akan menandatangani perjanjian muktamad.
Dalam pada itu, Pharmaniaga berkata, MoU itu akan berkuatkuasa mulai hari ini (1 April 2021) bagi tempoh tiga tahun, tertakluk kepada penamatan lebih awal oleh salah satu pihak atau setelah membuat perjanjian muktamad, yang mana lebih awal.
“Maklumat di bawah MoU ini hanya disasarkan bagi tujuan kerjasama seperti mana terkandung dalam MoU dan kekal sulit serta tidak didedahkan kepada mana-mana pihak ketiga dan/atau digunakan oleh tujuan lain,” tambah Pharmaniaga.
Setakat 5 petang, nilai saham Pharmaniaga ditutup lebih rendah, jatuh 8 sen kepada RM3.18. - DagangNews.com








