KUALA LUMPUR 6 Nov - Segmen perubatan Pentamaster Corp Berhad berpotensi menyaksikan pertumbuhan pada suku-suku berikutnya, yang sebahagiannya boleh mengimbangi kelembapan dalam segmen lain, menurut AmInvestment Bank Research.
Firma penyelidikan itu berkata buku pesanan Pentamaster kini telah merosot 10% kepada RM550 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) daripada RM610 juta pada 2QFY23 terutamanya disebabkan oleh tempahan lebih rendah daripada segmen automotif.
Menurut firma itu, segmen automotif dan perubatan merangkumi anggaran 70% daripada jumlah semasa, di mana tempahan baharu daripada segmen perubatan adalah lebih tinggi daripada automotif, membawa kepada nisbah tempahan kepada bil sebanyak 0.7 kali terhadap pendapatan FY24.
Oleh itu, AmInvestment menjangkakan segmen perubatan mengimbangi kelemahan segmen automotif.
Firma itu berkata pengurusan kumpulan itu sedang berunding dengan dua pelanggan teknologi perubatan baharu yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan lebih banyak tempahan.
Tambahnya, pembangunan prototaip peralatan perubatan baharu untuk pelanggan baharu dan sedia ada dijangka bermula dalam tahun kewangan 2024 (FY24) dan ini berkemungkinan menyaksikan peningkatan ketara dalam sumbangan pendapatan daripada segmen ini pada FY25.
“Kami positif terhadap pertumbuhan segmen perubatan, yang dijangka didorong oleh peningkatan tempahan daripada pangkalan pelanggan sedia ada bagi produk perubatan baharu dan sedia ada kerana mereka terus mengembangkan portfolio produk dan kilang di negara lain.
“Selain itu, Pentamaster aktif mengembangkan portfolio pelanggan untuk mendapatkan pelanggan baharu,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Selain sektor automotif dan perubatan, baki 30% buku pesanan adalah tempahan daripada segmen semikonduktor, elektro-optik dan produk pengguna/industri.
Firma itu berkata pengurusan kumpulan memberi petunjuk bahawa sentimen kekal lembap dan menjangkakan peningkatan ketara dalam sumbangan daripada segmen ini hanya pada 2HFY24 atau FY25.
AmInvestment mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) RM5.50 sesaham. - DagangNews.com








