Persekitaran operasi segmen perkilangan mencabar, untung bersih IOI Corporation dijangka lemah pada 2HFY23 - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persekitaran operasi segmen perkilangan mencabar, untung bersih IOI Corporation dijangka lemah pada 2HFY23 - HLIB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Keuntungan bersih IOI Corporation Bhd dijangka lemah bagi separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) berikutan cabaran pada persekitaran operasi segmen perkilangan khususnya penapisan dan subsegmen oleokimia, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Di dalam nota hari ini, HLIB berkata persekitaran operasi dalam subsegmen oleokimia kekal mencabar dengan tekanan inflasi yang berterusan dan kelembapan permintaan global tetapi akan dikurangkan dengan pengambilan yang bertambah baik dari China berikutan Dasar Sifar COVID-19 negara itu. 

 

“Sebaliknya, pendapatan dari segmen perladangan mungkin akan terjejas oleh penyusutan harga produk sawit dan peningkatan kos input yang termasuk harga bahan api dan baja,” tambahnya.

 

Mengulas berkenaan keuntungan bersih syarikat perladangan itu pada separuh pertama tahun 2023 (1HFY23), firma penyelidikan itu menganggap hasil kewangannya sejajar dengan jangkaan mereka.

 

“Keuntungan bersih suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) sebanyak RM418.6 juta menjadikan jumlah bagi 1HFY23 meningkat 7.4% kepada RM1.04 bilion, mencakupi 58.7 hingga 69.6% daripada anggaran tahun penuh kami dan konsensus,” katanya.

 

Tambahnya, keuntungan bersih menyusut 32.3% suku ke suku (QOQ) kepada RM418.6 juta pada 2QFY23 berikutan kemerosotan harga produk sawit yang direalisasikan namun sebahagiannya dikurangkan oleh pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi pada segmen perladangan.

 

Selain itu, untung bersih 2QFY23 juga terjejas oleh keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat bersekutunya, Bumitama dan prestasi perkilangan yang lemah akibat hakisan margin pada subsegmen oleokimia.

 

Sementara itu, keuntungan bersih merosot 21.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM418.6 juta pada 2QFY23 terutamanya disebabkan peningkatan kos pengeluaran minyak mentah dan penyusutan harga produk sawit serta keuntungan lemah daripada Bumitama. 

 

“Bagaimanapun, ini sebahagiannya dikurangkan oleh prestasi perkilangan yang lebih baik berikutan pengembangan margin pada subsegmen penapisan,” tambahnya.

 

Oleh itu, HLIB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran dikekalkan pada RM4.36. -DagangNews.com