KUALA LUMPUR 13 April - Persatuan atau kelab pelajar di universiti digesa untuk membuat aktiviti yang menekankan inovasi sosial (SI) dan keusahawanan sosial (SE) untuk pelajar universiti dan masyarakat luar.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Arifin Abdu berkata, aktiviti yang menerapkan inovasi SI dan SE tersebut mampu memberi manfaat kepada komuniti dan menjana pendapatan persatuan serta komuniti.
Menurutnya, SI dan SE mudah dicapai sekiranya pelajar mempraktikkan 'Smart Skills' dan 'Sharp Skills' iaitu melengkapkan pelajar dengan kepintaran mengurus manusia dan kebijakan mengurus teknologi seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Dalam konteks Malaysia Madani, kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat dianggap sebagai satu kekuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dalam Majlis Pelancaran Program Pesta Kebudayaan Zhong Hua UPM ke-18, baru-baru ini.
Terdahulu, Persatuan Senibudaya Zhong Hua UPM memperkenalkan keunikan seni budaya Zhong Hua untuk meningkatkan persefahaman tinggi kepada peserta dan masyarakat berbilang kaum dalam kalangan pelajar UPM.



Tambah Arifin, beliau juga berharap setiap persatuan pelajar memastikan program anjuran mereka disertai dan memberi manfaat kepada semua kerana pengukuhan integrasi kaum akan menyumbangkan kepada kualiti mahasiswa yang holisitik. - DagangNews.com








