Perolehan Aeon diunjur lebih rendah tahun ini ekoran tekanan margin - RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perolehan Aeon diunjur lebih rendah tahun ini ekoran tekanan margin - RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - RHB Investment Research mengunjurkan perolehan Aeon Co. (M) Bhd rendah tahun ini berikutan firma itu kekal berhati-hati terhadap kempen jaminan harga yang dilancarkan kumpulan tersebut untuk membantu pelanggan menghadapi peningkatan kos sara hidup.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kempen tersebut boleh menimbulkan pengecutan margin di dalam persekitaran inflasi ketika ini walaupun terdapat hasrat untuk mengekalkan pelanggan. 

 

“Bagaimanapun, pemulihan kadar penghunian untuk perkhidmatan pengurusan hartanah sebanyak 91.4% pada tahun kewangan 2022 (FY22) daripada tahun kewangan 2021 (FY21) pada 83.8% amat menggalakkan," katanya dalam notanya hari ini.

 

Syarikat itu telah memperbaharui 90% daripada perjanjian sewa pada FY22 dengan pengembalian sewa sebanyak 6%. Sasaran pihak pengurusan adalah mengekalkan kadar penghunian pada 93%. 

 

RHB Investment percaya pembukaan semula sempadan China dan pengambilan secara beransur-ansur dalam perjalanan antarabangsa akan menjadi satu kejayaan kepada kumpulan.

 

Prestasi kewangan FY22 adalah di bawah jangkaan berikutan perbelanjaan operasi (Opex) yang tinggi daripada yang dijangka namun pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) daripada asas rendah adalah memberangsangkan disebabkan pemulihan ekonomi.

 

Pertumbuhan pendapatan syarikat pada suku keempat bagi tahun kewangan 2022 (4QFY22) juga dilihat teguh, dirangsang oleh segmen peruncitan berikutan peningkatan jualan yang dipacu oleh pembukaan semula ekonomi dan perbelanjaan perayaan.

 

Namun, pendapatan teras menjunam 64.9% YoY akibat pengecutan margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak 6.2 mata YoY kepada 6.8% berikutan peningkatan aktiviti promosi, kos penyelenggaraan tinggi dan pembalikan peruntukan bagi kemerosotan nilai aset yang rendah.

 

Oleh itu, RHB Investment mengurangkan ramalan pendapatan sesaham (EPS) Aeon sebanyak 12% dan 9% masing-masing bagi FY23 dan FY23, setelah mengambil kira andaian kos operasi yang lebih tinggi.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap Aeon dengan menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM1.43 daripada RM1.51. -DagangNews.com