Perniagaan penerbangan Pecca peroleh pensijilan antarabangsa POA C2 EASA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perniagaan penerbangan Pecca peroleh pensijilan antarabangsa POA C2 EASA

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 April - Pecca Group Bhd menjadi syarikat Malaysia pertama dan satu-satunya yang diperakui oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA). 

 

Pecca dalam kenyataan berkata, anak syarikat milik penuh Pecca, Pecca Aviation Services Sdn Bhd (PASSB) telah menerima sijil Kelulusan Organisasi Pengeluaran (POA) daripada EASA. 

 

Katanya, POA yang sah untuk selama-lamanya melainkan dibatalkan, memperakui bahawa PASSB mematuhi peraturan Kesatuan Eropah. 

 

"PASSB akan menjadi pemilik lesen EASA POA C2 yang pertama dan terulung di Malaysia.

 

"Skop kerja yang diluluskan di bawah sijil POA adalah membalut, memotong dan menjahit kulit atau fabrik untuk sarung penutup tempat duduk pesawat, sarung tempat sandar kepala dan sarung tempat letak tangan. 

 

"Pencapaian utama ini membuka aliran hasil baharu, kerana kumpulan kini diberi hak untuk menyediakan perkhidmatan upholsteri dan baik pulih untuk semua pesawat berdaftar EASA.

 

Menurut kenyataan itu, sijil POA dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Pecca yang seterusnya. 

 

 

pecca
                                            Foo Ken Nee

 

 

"Perlu diperhatikan bahawa Pecca telah menguar-uarkan tentang pemecahan rekod dalam keputusan suku kedua 2023. Keuntungan bersih telah melonjak sebanyak 40.1% kepada RM8.41 juta, manakala hasil meningkat 18.3% kepada RM53.48 juta dari tahun ke tahun," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pecca, Foo Ken Nee berkata, segmen penerbangan ialah salah satu enjin pertumbuhan utama mereka dan pensijilan EASA pastinya akan mempercepatkan pertumbuhan hasil segmen itu dalam bergerak ke hadapan. 

 

Katanya, sijil POA akan menyediakan platform untuk menyambung dan berkhidmat dengan semua jenis pesawat yang didaftarkan secara global, di bawah prinsip dan garis panduan EASA. 

 

"Pensijilan itu membolehkan PASSB mempunyai kelebihan daya saing di kalangan pemain industri POA di Malaysia, ASEAN dan global. 

 

"Ini akan menyediakan peluang perniagaan selanjutnya untuk mengembangkan portfolio pelanggan PASSB secara global, sebagai tambahan kepada pangkalan pelanggan sedia ada yang hanya meliputi pesawat berdaftar Malaysia termasuk jet peribadi dan helikopter, di bawah penilaian CAAM Bahagian 145 AMO C6 (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia)," katanya. - DagangNews.com