KUALA LUMPUR 28 Ogos - Segmen gula FGV Holdings Bhd mengalami kerugian pada suku kedua 2024 (2QFY24) berbanding keuntungan pada suku tahun sebelumnya walaupun menerima insentif kerajaan sebanyak RM72 juta.
RHB Investment berkata, ini disebabkan terutamanya oleh kerugian lindung nilai dan kos gula mentah yang lebih tinggi.
"Volum jualan jatuh sebanyak 6% berbanding suku sebelumnya dan 4% berbanding tahun lepas pada suku kedua 2024, manakala harga jualan purata (ASP) menurun 3% berbanding suku sebelumnya, tetapi meningkat 16% berbanding tahun lepas.
"Ke depan, walaupun telah mengurangkan posisi lindung nilainya, pendapatan mungkin masih terjejas oleh kadar penggunaan di kilang Johor yang rendah (suku kedua 2024: 29%)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, RHB Investment mengekalkan saranan 'Neutral' FGV Holdigs tetapi dengan harga sasaran (TP) baharu RM1.30 sesaham berbanding RM1.15 sebelum ini iaitu peningkatan 5%.
"Pendapatan teras 1H24 memenuhi jangkaan kami, tetapi kurang memuaskan berbanding jangkaan konsensus. Segmen perladangan FGV Holdings kembali mencatat keuntungan manakala bahagian gula mengalami kerugian.

ARTIKEL BERKAITAN: FGV kembali catat untung bersih RM86.4 juta pada 2QFY24 dipacu segmen perladangan, logistik serta sokongan
"Kami menjangka pendapatan akan meningkat, memandangkan musim puncak pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang akan datang dan kos yang lebih rendah. Namun, penilaian masih tidak menarik – saham ini diniagakan pada nisbah P/E FY25F yang tinggi iaitu 40x berbanding julat rakan sejawat sebanyak 18-22x," jelasnya.
Menurut firma penyelidikan itu, keuntungan bersih teras FGV Holdings pada 1HFY24 berada dalam jangkaan tetapi di bawah unjuran konsensus iaitu sebanyak 48% dan 28% daripada FY24.
"Keuntungan bersih teras pulih dengan ketara berbanding suku sebelumnya pada suku kedua 2024 kepada MYR42.6 juta (berbanding hanya MYR2.5 juta pada suku pertama 2024). Tiada dividen diumumkan pada suku kedua 2024," ujarnya.
Sementara itu, RHB Investment berkata, FGV Holdings terus menjangkakan pertumbuhan sebanyak 10-15% untuk FY24, memandangkan kekurangan tenaga kerja mereka dijangka diselesaikan menjelang akhir 4Q 2024 dengan sekarang pada 5% berbanding 13% pada 1Q 2024.
Firma penyelidikan itu juga menaikkan unjuran pertumbuhan BTS FY24 kepada 9.5%, daripada 3.7% tetapi mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 3-4% untuk FY25-26.
"Kami mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah FY24 pada RM3,900 setiap tan," jelasnya. - DagangNews.com








