Pernas sasar pembiayaan bernilai RM7.8 juta di Johor tahun ini | DagangNews Skip to main content

Pernas sasar pembiayaan bernilai RM7.8 juta di Johor tahun ini

Pernas menyasarkan potensi pembiayaan usahawan di Johor bernilai RM7.8 juta pada tahun ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan potensi pembiayaan usahawan di Johor bernilai RM7.8 juta pada tahun ini.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Saraswathy Kandasami berkata, sehingga kini sebanyak RM37.6 juta disalurkan kepada usahawan Johor yang mana sebanyak 45 jenama francais dan pra-francais tempatan dibangunkan dengan bantuan Pernas.

 

Beliau berkata, program BizFrancais Johor pada kali ini merupakan kerjasama di antara Pernas dengan Perbadanan Usahawan Johor (PUJB), yang merupakan lokasi ketiga bagi siri jelajah Program BizFrancais pada 2023. 

 

Katanya, program BizFrancais diperkenalkan sejak 2019 yang mana Pernas menganjurkan 17 siri program BizFrancais dan pada tahun ini, program BizFrancais diadakan di enam lokasi iaitu Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

 

"Sejak Program BizFrancais diperkenalkan, Pernas meluluskan pembiayaan sebanyak RM14.94 juta. Manakala untuk usahawan di negeri Johor, sejak 2010 sehingga kini, Pernas telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM37.6 juta.

 

"Sehingga kini, Pernas menyalurkan sejumlah RM428 juta pembiayaan francais kepada 2,187 usahawan francais. Bagi 2023, sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk pembiayaan francais dan pra-francais," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Saraswathy, program BizFrancais adalah satu platform untuk memberi pendedahan serta kesedaran kepada orang ramai mengenai perniagaan francais dan mempromosi Pernas sebagai sebuah agensi kerajaan yang diberi mandat untuk meningkatkan industri francais negara.

 

 

pernas
Saraswathy Kandasami ketika berucap merasmikan program BizFrancais anjuran Pernas di Johor, baru-baru ini.

 

 

pernas
Datuk Hazimah Zainuddin ketika berucap pada program BizFrancais anjuran Pernas di Johor, baru-baru ini.

 

 

pernas

 

 

Beliau turut menyatakan penganjuran program ini adalah selaras dengan Pelan Strategik 2023 KUSKOP dalam menyediakan ekonomi yang kondusif, meningkatkan daya tahan dan daya saing usahawan selain memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan keusahawanan.

 

 

pernas

 

 

pernas

 

 

"Saya percaya lebih banyak perniagaan francais dapat dibangunkan di Johor. Saya juga mahu melihat perniagaan pra-francais yang berpotensi di negeri ini dapat dikenalpasti serta dimajukan dan sekali gus dapat membantu membangunkan pertumbuhan ekonomi di negeri itu," katanya.

 

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi & Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah; Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk  Zamri Salleh; Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek. - DagangNews.com