Permulaan baik atlet negara mampu capai sasaran 36 pingat emas Sukan SEA Vietnam - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permulaan baik atlet negara mampu capai sasaran 36 pingat emas Sukan SEA Vietnam - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mei - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin kontinjen Malaysia pada temasya Sukan SEA ke-31 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam mampu mencapai sasaran 36 pingat emas.

 

Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang menghadiahkan emas pertama buat Malaysia, disusuli Ooi Tze Liang, Chew Yi Wei, Ng Yan Yee dan Ong Ker Ying.

 

Beliau berkata, pencapaian empat pingat emas dan setiap satu perak dan gangsa setakat ini membanggakan.

 

"Permulaan yang baik bagi atlet negara Sukan SEA Vietnam 2021. Pencapaian empat pingat emas dan setiap satu perak dan gangsa setakat ini membanggakan.

 

"Tahniah kepada penerjun Nur Dhabitah Sabri yang menghadiahkan emas pertama Malaysia, disusuli Ooi Tze Liang, Chew Yi Wei, Ng Yan Yee dan Ong Ker Ying. Pingat perak disumbangkan oleh Kimberly Bong dan gangsa oleh Bertrand Rhodict," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras dan semangat juang mereka yang padu bagi mengharumkan nama negara.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Saya yakin dengan permulaan baik ini, kita mampu mencapai sasaran 36 pingat emas. Kepada atlet-atlet kita, teruskan perjuangan dan kuatkan semangat. Selamat maju jaya," katanya.

 

Seramai 612 atlet negara menyertai temasya Sukan SEA kali ini bagi bersaing dalam 37 jenis sukan.

 

Sukan SEA Vietnam akan berlangsung dari 12 hingga 23 Mei 2022. - DagangNews.com