Permohonan Hak Trafik Udara melonjak 210% pada suku kedua 2022, AirAsia paling banyak diberi kelulusan - Mavcom | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permohonan Hak Trafik Udara melonjak 210% pada suku kedua 2022, AirAsia paling banyak diberi kelulusan - Mavcom

KUALA LUMPUR 25 Julai - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) merekodkan lonjakan 210% dari segi permohonan Hak Trafik Udara (ATR) pada suku kedua 2022 berbanding tempoh yang sama pada 2021.

 

Ia berjumlah 32 permohonan yang meliputi 28 permohonan bagi laluan udara antarabangsa dan empat bagi laluan udara domestik, sekali gus menunjukkan peningkatan permohonan ATR sebanyak 47.6% daripada angka pada suku pertama 2022.

 

Peningkatan ketara ini didorong oleh pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia pada April 2022 serta inisiatif syarikat penerbangan untuk mengembangkan rangkaian antarabangsa mereka sejajar dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa oleh negara-negara lain.

 

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, dalam usaha melakar arah tuju dalam tempoh pasca pandemik, suruhanjaya terus komited dalam peranan sebagai pengawal selia komersial dan ekonomi industri penerbangan awam di Malaysia.

 

Katanya, landskap sektor penerbangan kekal mencabar, tetapi Mavcom amat bersuka cita untuk melaporkan bahawa terdapat peningkatan permohonan ATR yang sihat, dan ini menandakan pemulihan yang stabil bagi syarikat-syarikat penerbangan. 

 

"Tambahan pula, Mavcom amat berbesar hati dan menyokong keputusan syarikat penerbangan untuk meneroka sektor-sektor baharu sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan mereka dengan pemberian kelulusan ATR bagi laluan-laluan baharu seperti Pulau Pinang ke Denpasar, Phnom Penh dan Pekanbaru dan juga Johor Bahru ke Phnom Penh, Pekanbaru dan Kualanamu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi suku dalam tinjauan, Mavcom telah meluluskan 31 daripada 32 permohonan ATR yang diterima daripada syarikat penerbangan, yang menunjukkan kadar kelulusan sebanyak 96.8%. 

 

Kadar kelulusan tersebut adalah lebih tinggi berbanding kadar kelulusan yang dilaporkan bagi suku pertama 2022, iaitu sebanyak 95.4%. 

 

Daripada 31 kelulusan ATR tersebut, AirAsia telah menerima jumlah kelulusan ATR tertinggi dengan 11 ATR, diikuti oleh Batik Air Malaysia dan AirAsia X, yang masing-masing menerima 7 dan 6 kelulusan ATR.

 

Kedua-dua MY Jet Xpress Airlines dan Raya Airways telah diberikan 3 ATR setiap satu, dan MABKargo telah diberikan 1 kelulusan ATR.

 

Sementara itu, sektor kargo mencatat penurunan marginal dengan jumlah ATR yang diberi bagi penerbangan kargo hanyalah 29% daripada jumlah ATR yang dikeluarkan Mavcom pada suku kedua 2022, berbanding jumlah ATR yang diberikan bagi penerbangan kargo pada suku kedua 2021 yang mewakili 90% daripada keseluruhan ATR yang diberi. 

 

Penelitian Mavcom menunjukkan bahawa pengurangan tersebut dapat dikaitkan dengan kebangkitan semula perkhidmatan penerbangan penumpang yang membawa bersamanya kapasiti kargo ruang perut (belly space cargo capacity). - DagangNews.com