KUALA LUMPUR 31 Mei - Peningkatan penggunaan isi rumah dan pemulihan eksport berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi mendorong ekonomi negara berkembang 4.2% pada suku tahun pertama 2024, meningkat daripada 2.9% pada suku tahun sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menerbitkan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 5/2024 hari ini berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia juga disokong pasaran buruh yang stabil, kadar pengangguran yang rendah dan peningkatan kedatangan pelancong.
Katanya, ini meningkatkan aktiviti berkaitan pelancongan, juga perbelanjaan modal yang lebih tinggi daripada kedua-dua sektor swasta dan awam.
"KDNK pelarasan musim meningkat 1.4% suku tahun ke suku tahun, dengan kadar pertumbuhan bulanan meningkat 4.8% pada Januari, 5.0% pada Februari, dan perlahan kepada 2.9% pada Mac 2024," katanya.
Jelas DOSM, Bank Pembangunan Asia (ADB) melalui keluarannya pada April 2024 melaporkan prospek ekonomi kekal kukuh bagi rantau Asia dan Pasifik selepas pemulihan pasca-pandemik dengan pertumbuhan diunjurkan sebanyak 4.9% bagi tahun 2024 dan 2025.
"Pertumbuhan rantau tersebut akan didorong oleh permintaan domestik yang kukuh terutamanya di Asia Selatan dan Tenggara meskipun penyusutan berlaku di Republik Rakyat China," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia pada suku tahun pertama 2024 merekodkan RM16.2 bilion, berbanding RM10.8 bilion pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.
Katanya, lebihan yang lebih tinggi ini didorong oleh eksport bersih akaun Barangan. Dari segi pelaburan, Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih yang lebih rendah sebanyak RM5.5 billion berbanding RM9.2 bilion pada 1Q 2023.
"Sementara itu, Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi sebanyak RM11.5 billion berbanding RM6.3 bilion pada 1Q 2023.
"Meninjau prestasi sektor luaran iaitu perdagangan barangan Malaysia pada suku tahun pertama 2024, jumlah dagangan kembali pulih untuk mencatatkan peningkatan 7.1% tahun ke tahun selepas penurunan tiga suku tahun berturut-turut.
"Eksport dan import bertambah baik berbanding 1Q 2023 masing-masing mencatatkan 2.2% dan 13.1%, manakala lebihan dagangan menyusut 46.8%," ujarnya.
Tambah Dr Mohd Uzir, prestasi perdagangan pada Mac 2024 meningkat 5.1% daripada RM232.6 billion pada bulan yang sama tahun lalu kepada RM244.5 bilion, dipacu oleh peningkatan dua digit dalam import (+12.5%), walaupun eksport menyusut 0.8%.

Katanya, lebihan dagangan pada Mac 2024 merosot 52.0 peratus daripada tahun sebelumnya kepada RM12.8 bilion.
"Pada April 2024, jumlah dagangan tumbuh 12.1%, dengan eksport pulih sebanyak 9.1% dan import meningkat 15.6%, manakala imbangan dagangan menurun 39.0% tahun ke tahun.
"Melihat prestasi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia pada Mac 2024, IPP kekal positif dengan pertumbuhan 2.4% tahun ke tahun iaitu menyederhana daripada 3.1% pada bulan sebelumnya.
"Pertumbuhan ini diterajui oleh sector Pembuatan yang berkembang 1.3%, meningkat daripada 1.2% pada Februari 2024," katanya.
Selain itu, kata Dr Mohd Uzir, sektor Perlombongan dan Elektrik masing-masing meningkat sebanyak 4.9% dan 7.8%.
Ujarnya, IPP terus meningkat secara signifikan pada suku tahun pertama 2024 iaitu sebanyak 3.3% tahun ke tahun.
"Dari segi nilai jualan, sektor Pembuatan meningkat 1.4% pada Mac 2024, terus merekodkan trend positif tahun ke tahun untuk bulan ketiga berturut-turut dan mencapai RM158.4 bilion.
"Pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh subsektor Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (9.6%); Kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (3.4%); dan Peralatan elektrik & elektronik (2.3%).
"Bagi suku tahun pertama 2024, nilai jualan sektor ini pulih kepada 1.8%, berjumlah RM457.3 billion," katanya.
Meneliti sektor Perkhidmatan Malaysia pada suku tahun pertama 2024, sektor ini kata Dr Mohd Uzir, mencatatkan pertumbuhan tahunan 6.1% dengan hasil sebanyak RM594.5 bilion.
Katanya, Indeks Volum Perkhidmatan meningkat 4.5% kepada 150.4 mata pada suku tahun ini.
"Pertumbuhan ini disumbangkan oleh Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan yang berkembang 5.4% tahun ke tahun kepada RM451.6 bilion berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.








