Perlis Inland Port dijangka sumbang RM2.8 bilion kepada KDNK Perlis - NCIA | DagangNews Skip to main content

Perlis Inland Port dijangka sumbang RM2.8 bilion kepada KDNK Perlis - NCIA

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) bersama Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) ketika perasmian Perlis Inland Port (PIP) dan Bonded Road di Chuping, hari ini.

PADANG BESAR 15 Mac - Perlis Inland Port (PIP) dijangka akan menyumbang sebanyak RM2.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perlis dan mewujudkan sebanyak 500 peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat negeri itu menjelang 2030.

 

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohammad Haris Kader Sultan berkata, projek itu juga dijangka merancakkan dan meningkatkan jumlah perdagangan merentas sempadan antara Malaysia dan Thailand melalui Padang Besar sebanyak 50%.

 

“Projek ini merupakan sebuah projek kerjasama awam-swasta (PPP) di antara pihak swasta, iaitu syarikat Mutiara Perlis Sdn Bhd bersama-sama dengan kerajaan negeri Perlis dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), dan NCIA akan menyediakan komponen infrastruktur luaran bagi menyokong pembangunan PIP.

 

“PIP memainkan peranan yang sangat penting sebagai infrastruktur strategik yang akan melengkapkan pembangunan logistik dan perdagangan di NCER,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran PIP dan 'Bonded Road' di sini hari ini.

 

Pelancaran majlis itu disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

 

Mohammad Haris berkata projek PIP merupakan sebahagian daripada usaha NCIA menyokong matlamat kerajaan untuk mempercepatkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara dalam era pasca pandemik COVID-19, seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik (SDP 2021-2025) NCER.

 

Menurutnya, PIP juga merupakan komponen utama dalam menyokong pembangunan bersepadu di Lembah Chuping yang merangkumi Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dan Chuping Agro Valley (CAV), menurut Bernama.

 

 

pm

 

 

“Kesemua projek ini akan bakal membuka lembaran baharu dalam mentransformasikan negeri Perlis kepada sebuah ekonomi yang berteraskan perdagangan rentas sempadan dengan memanfaatkan kerjasama serantau Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan ASEAN,” katanya.

 

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat ke majlis tersebut. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man. - DagangNews.com