Perjanjian TM-DNB hanya beri risiko kepada pelaksanaan perkhidmatan - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perjanjian TM-DNB hanya beri risiko kepada pelaksanaan perkhidmatan - MIDF Research

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 17 Dis - Perjanjian Perkhidmatan Sewaan Fiber dengan dengan Digital Nasional
Bhd. (DNB) akan menyumbang secara positif kepada Telekom Malaysia Bhd. (TM) dalam tempoh jangka masa panjang, menurut MIDF Research.

 

Dalam nota kajian hari ini, firma itu juga tidak melihat sebarang risiko utama berhubung Kertas Perjanjian ini kecuali risiko dari segi operasi dan pelaksanaan yang berkaitan perkhidmatan.

 

Katanya, perjanjian itu juga tidak memberi sebarang kesan material kepada pendapatan dan aset bersih TM bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. 

 

"Sementara menanti butiran lebih terperinci, kami juga tidak membuat perubahan kepada anggaran pendapatan dan turut mengekalkan harga sasaran pada RM6.91 sesaham. 

 

"Ini berdasarkan kepada metodologi penilaian Model Diskaun Dividen dengan kos purata wajaran modal (WACC) pada 6.7%," katanya. 

 

Semalam, TM mengumumkan perjanjian dengan DNB membabitkan nilai kontrak berjumlah RM2 bilion bagi tempoh 10 tahun.

 

Di bawah perjanjian tersebut, TM akan menyediakan DNB dengan perkhidmatan sewaan fiber 5G bagi sambungan antara tapak-tapak mudah alih dan nod-nod 5G milik DNB, dengan menggunakan rangkaian kabel fiber domestik TM sepanjang lebih 640,000 kilometer di seluruh negara.

 

Sebelum ini, TM bersama-sama penyedia fiber lain di Malaysia telah mengambil bahagian dalam proses Permohonan Sebut Harga (RFQ) Sewaan Fiber 5G yang dilakukan oleh DNB pada Jun 2021.

 

Pada Rabu, DNB mengumumkan TM dan YTL Communications Sdn. Bhd. akan menjadi 2 operator pertama yang menyediakan akses kepada 5G di negara ini.

 

MIDF Research berkata, TM akan terus mendapat manfaat daripada penggunaan jalur lebar gentian yang didorong oleh pandemik di samping menjadi pemain talian tetap utama negara.

 

"Pertumbuhan hasil kumpulan terutamanya unifi, TM One dan TM Wholesale juga masih kekal kukuh.

 

"Ini membolehkan kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap TM dengan harga sasaran pada RM6.91 dengan menjangkakan jumlah pulangan sebanyak 34.4%," katanya. 

 

Setakat 9.32 pagi ini, saham TM menokok 2 sen atau 0.38% kepada RM5.27 dengan 76,800 saham diniagakan. - DagangNews.com