KUALA LUMPUR 20 Julai - Eksport Malaysia pada Jun 2023 merosot 14.1% kepada RM123.98 bilion dan import juga berkurang 18.9% kepada RM98.16 bilion.
Sejajar dengan permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah, jumlah perdagangan menyusut 16.3% kepada RM222.14 bilion.
Namun, Malaysia masih mencatatkan lebihan dagangan ke-38 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 dengan pertumbuhan dua angka 11.3% kepada RM25.81 bilion, menjadikannya nilai bulanan tertinggi yang pernah direkodkan bagi Jun.
Prestasi perdagangan Malaysia pada bulan lalu adalah seiring dengan pasaran serantau lain khususnya China, Singapura, Indonesia, Taiwan dan Korea Selatan yang turut mencatatkan pertumbuhan negatif.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, meskipun mencatatkan penyusutan, pertumbuhan eksport yang kukuh telah direkodkan terutamanya bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), barangan besi dan keluli, bijih logam dan serpihan logam, kelengkapan pengangkutan serta barangan makanan diproses.
"Berbanding Mei 2023, eksport dan lebihan dagangan masing-masing meningkat 3.7% dan 64.4% manakala perdagangan dan import mengurang 0.5% dan 5.4%," katanya.
Bagi suku kedua 2023, perdagangan berkurang 11.3% kepada RM643.22 bilion berbanding suku sama 2022.
Pada suku tahunan itu, eksport menurun 11.1% kepada RM348.68 bilion, import menyusut 11.5% kepada RM294.54 bilion dan lebihan dagangan mengecil 8.8% kepada RM54.14 bilion.
Bagi separuh pertama 2023 pula, perdagangan Malaysia menguncup 4.6% kepada RM1.288 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Eksport berkurangan sebanyak 4.5% kepada RM703.27 bilion, import menyusut 4.7% kepada RM584.75 bilion dan lebihan dagangan turun sebanyak 3.6% kepada RM118.52 bilion.
Pada Jun 2023, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 87.7% atau RM108.78 bilion daripada jumlah eksport mengurang 9.5% tahun ke tahun berikutan penurunan eksport keluaran petroleum, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta kimia dan bahan kimia.
Walaupun mencatatkan penyusutan, kenaikan eksport telah direkodkan bagi barangan E&E, barangan besi dan keluli serta kelengkapan pengangkutan.
Eksport keluaran pertanian berjumlah RM7.44 bilion, menurun 42.1% berbanding Jun 2022 disebabkan oleh pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, berikutan pengurangan ketara dalam harga eksport minyak sawit walaupun kuantiti eksport meningkat.
Eksport hasil galian pula menguncup 34.9% tahun ke tahun kepada RM6.91 bilion berikutan penurunan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.
Pada Jun 2023, perdagangan dengan ASEAN merangkumi 27.9% atau RM61.98 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, menyusut 14.7% tahun ke tahun.
Eksport menguncup 8.5% kepada RM37.71 bilion, disebabkan oleh pengurangan eksport keluaran petroleum, petroleum mentah serta kimia dan bahan kimia.
Walau bagaimanapun, pengurangan itu telah diimbangi oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, lapor Berita Harian.
Sementara itu, import dari ASEAN berkurang 22.8% kepada RM24.27 bilion. - DagangNews.com








