Perbelanjaan operasi lebih tinggi jejaskan untung bersih Q4 Petronas Gas, susut kepada RM412.55 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perbelanjaan operasi lebih tinggi jejaskan untung bersih Q4 Petronas Gas, susut kepada RM412.55 juta

KUALA LUMPUR 16 Feb - Untung bersih Petronas Gas Bhd. susut 8.86% kepada RM412.55 juta pada suku keempat (Q4) berakhir 31 Disember 2022 daripada RM452.63 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan itu disebabkan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, terutama perbelanjaan penggunaan gas bahan api dan gas dalaman, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Perolehan kumpulan bagaimanapun, meningkat 9.1% kepada RM1.63 bilion terutamanya disumbangkan oleh hasil yang lebih tinggi daripada segmen utiliti hasil daripada harga produk yang lebih tinggi sejajar dengan peningkatan harga gas bahan api.

 

Kumpulan berupaya mengekalkan prestasi kebolehpercayaan bertaraf dunia di semua loji dan kemudahannya pada suku yang ditinjau.

 

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22), pendapatannya meningkat 9.1% kepada RM6.16 bilion, sebaliknya untung bersih susut kepada RM1.65 bilion daripada RM1.99 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Mengenai prospek kumpulan, Petronas Gas berkata, walaupun tarif baharu dijangka diterjemahkan kepada pendapatan segmen perniagaan pengangkutan dan regasifikasi kumpulan yang lebih rendah, tetapi kedua-dua segmen dijangka terus menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan.

 

"Sementara itu, segmen pemprosesan gas dijangka kekal stabil berikutan kontrak jangka panjang," katanya.

 

Ia menjangkakan prestasi keseluruhan untuk FY23 kekal teguh disokong oleh kontrak pendapatan yang stabil manakala ketidaktentuan pertukaran asing dan pergerakan harga gas juga mungkin memberi kesan kepada prestasi kewangan kumpulan. - DagangNews.com