Perbelanjaan modal Petronas mungkin meningkat tahun depan – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perbelanjaan modal Petronas mungkin meningkat tahun depan – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan perbelanjaan modal (capex) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) meningkat pada 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata berdasarkan pemerhatian setiap tahun, Petronas perlu memutuskan bagaimana ia akan mencapai keseimbangan antara tiga keputusan utama: i) perbelanjaan modal; ii) komitmen dividen; dan iii) pemeliharaan kunci kira-kira. 

 

"Memandangkan komitmen dividen lebih rendah sebanyak RM32 bilion untuk 2024 walaupun purata harga minyak mentah Brent dijangka lebih tinggi pada AS$85 (unjuran Petronas), kami melihat kemungkinan bahawa capex Petronas meningkat pada 2024. 

 

"Pada akhir September 2023, Petronas mempunyai kedudukan tunai bersih sebanyak RM96.7 bilion," ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keuntungan Petronas susut bagi tempoh 9 bulan 2023 ekoran harga minyak global rendah

 

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), capex Petronas telah naik 25% tahun ke tahun (YoY) kepada RM34.3 bilion , manakala campuran capex domestik melonjak 37% YoY kepada RM16.4 bilion.

 

Maybank IB berkata daripada jumlah capex RM34.3 bilion, 16% (kira-kira RM5.5 bilion) diperuntukkan untuk inisiatif penyahkarbonan dan tenaga baharu kerana kumpulan itu berhasrat untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. 

 

Firma itu menekankan bahawa sebahagian besar capex kumpulan biasanya ditunggak kepada suku keempat setiap tahun. 

 

"Awal tahun ini, Petronas telah menyatakan bahawa ia telah merancang capex sebanyak RM300 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang (2023-2027), dengan 20% diperuntukkan kepada aktiviti penyahkarbonan dan peralihan tenaga. 

 

"Ini membayangkan purata capex RM60 bilion setiap tahun, dengan RM48 bilion dilaburkan ke dalam perniagaan hidrokarbon terasnya," tambah firma itu.

 

Memandangkan EIA telah meramalkan permintaan tertinggi untuk minyak pada 2023 hingga 2024, Maybank IB berpendapat bahawa persekitaran harga minyak mentah yang meningkat akan kekal untuk jangka sederhana. 

 

Oleh yang demikian, Maybank IB kekal positif terhadap sektor minyak dan gas Malaysia dengan andaian purata harga jualan (ASP) Brent pada 2023 dan 2024 masing-masing sebanyak AS$85 dan AS$80 setiap tong minyak mentah.

 

Pilihan 'beli' teratas firma itu ialah Yinson dengan harga sasaran (TP) RM5.05 sesaham, Velesto (TP: 30 sen) dan Wasco (TP: RM1.55). - DagangNews.com