IPOH 26 Sept - Hasil perlombongan nadir bumi lantanid di Mukim Kenering di Hulu Perak telah memberi pendapatan kira-kira RM16 juta menerusi royalti yang diterima kerajaan negeri Perak.
Angka ini adalah hasil daripada 10 kali pengeksportan nadir bumi karbonat (REC) ke negara China setakat Julai lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek perintis perlombongan ini melibatkan kawasan seluas 87 hektar.
Menurut beliau, NR-REE mampu memberikan pendapatan lumayan kepada kerajaan negeri berdasarkan kajian oleh Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia (JMG) Perak.
"Anggaran deposit NR-REE di Perak adalah 1,687,500 tan dengan nilai RM46.5 billion berdasarkan harga pasaran REC semasa,," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini.
Jelas Saarani lagi, kerajaan negeri berhasrat meneruskan perlombongan pada keseluruhan kawasan yang sudah mendapat kelulusan EIA iaitu seluas 2,160.6 hektar.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri berusaha meningkatkan hasil menerusi sektor perlombongan namun tidak akan mengenepikan kelestarian alam sekitar.
“Penilaian untuk pembukaan kawasan baharu NR-REE bergantung kepada badan bebas melalui Jawatankuasa Audit yang dibentuk bagi tujuan pemantauan pelaksanaan projek perintis perlombongan di negeri Perak.
“Ia melibatkan 12 agensi teknikal penguatkuasaan antaranya JMG, Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak dan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri Perak.
"Terlibat sama ialah Jabatan Alam Sekitar, Negeri Jabatan Tenaga Atom dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa,” jelasnya.
Tambahnya lagi, perlombongan dan pengoperasian hanya dibenarkan setelah semua kelulusan seperti laporan Environmental Impact Assessment (EIA) Malaysia dan Environmental Management Plan (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar. - DagangNews.com