KUALA LUMPUR 15 September - Penutupan Aeon Sunway Pyramid dijangka tidak memberi kesan ketara kepada prestasi kewangan Aeon Co. (M), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
HLIB dalam nota penyelidikannya hari ini berkata, pengurusan Aeon mendedahkan bahawa sumbangan daripada cawangan itu hanya berjumlah 2% daripada pendapatan segmen runcitnya.
"Kami menjangkakan kerugian jualan dapat dikurangkan sebahagiannya dengan pembukaan kedai baharu Aeon IOI City Mall pada Februari 2023," katanya.
Segmen runcit Aeon merekodkan hasil yang lebih rendah pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) mencatatkan penurunan sebanyak 8% suku ke suku dan tahun ke tahun, dengan penurunan dalam barangan lembut (pakaian, pegun, kanak-kanak) dan barangan keras (produk berkaitan rumah, elektrik) walaupun terdapat peningkatan dalam produk makanan.
Di samping itu, purata saiz bakul jatuh kepada RM63.60 pada 1H23 daripada RM73.90 pada 1H22.
Prestasi kewangan segmen pengurusan hartanah Aeon dijangka bertahan dengan peningkatan kadar penghunian kepada 93% menjelang akhir tahun dan kadar pembaharuan sewa yang lebih baik.
Selain itu, perniagaan Aeon Ayer Keroh dan Aeon Cheras Selatan yang telah dimulakan semula sepatutnya menyokong pertumbuhan.
"Kami menjangkakan jualan runcit kekal perlahan pada tahap semasa apabila kumpulan itu mempertingkatkan usaha dengan lebih banyak aktiviti promosi dan menambah rangkaian produk bagi menghadapi suku perlahan bermusim sebelum permulaan tempoh perayaan pada suku keempat," kata HLIB.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.48 sesaham daripada RM1.61.
Bagaimanapun, unjuran pendapatan Aeon bagi FY23, FY24 dan FY25 masing-masinjg dikurangkan 8%, 8% dan 7% selepas menyemak semula andaian cukai dan margin untuk syarikat itu. - DagangNews.com








