Penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah kawal selia industri halal secara lebih komprehensif - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah kawal selia industri halal secara lebih komprehensif - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 30 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawal selia industri halal secara lebih komprehensif dalam negara boleh disatukan melalui penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah.

 

Ismail Sabri berkata, pada masa ini, cadangan kawal selia sedia ada lebih terhad kepada sektor kewangan Islam melalui Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti manakala Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) pula mengawal selia industri halal.

 

"Oleh itu, kawal selia lebih komprehensif boleh disatukan misalnya melalui penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah.

 

"Saya menyeru saranan ini dapat diberi perhatian sewajarnya agar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai Model Rujukan Utama dalam bidang Ekonomi Halal dapat  direalisasikan

 

"Semoga apa yang diiltizamkan, dapat kita realisasikan bagi memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia melalui pemerkasaan dalam bidang ekonomi Halal," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi 2022 di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, kepesatan  kewangan Islam antaranya dipacu permintaan masyarakat terhadap sistem bebas riba, mempunyai unsur gharar dan masyir (spekulasi atau perjudian) selain adanya juga kawal selia dan model pengembangan sistem kewangan Islam yang tersedia di peringkat global.

 

Justeru beliau berkata, Pelan Induk Ekonomi Halal harus diupayakan dan diusahakan oleh pemegang taruh untuk memperkasakan ekonomi halal.

 

"Ini dilakukan dengan meningkatkan peranannya dalam pelbagai sektor ekonomi halal dalam pembangunan negara," katanya.

 

Beliau berkata, ekonomi Malaysia kini berdepan dengan ketidakpastian yang berlaku di peringkat global selain persaingan semakin sengit dalam ekonomi serantau.

 

"Peranan dan sumbangan ekonomi Halal tempatan terhadap ekonomi negara masih boleh dipertingkatkan atau ditambah baik supaya menjadi lebih signifikan," katanya.

 

Beliau berkata, berdasarkan laporan Global Islamic Economy Report (2016/2017 hingga 2020/2021), Malaysia menduduki peringkat pertama daripada segi skor petunjuk ekonomi Islam global. Bahkan, Malaysia menunjukkan prestasi teratas dalam sektor kewangan Islam. 

 

"Namun begitu, enam sektor lain, iaitu makanan halal, pelancongan, fesyen, kosmetik dan farmasetikal, dan media dan rekreasi masih ada ruang diperbaiki untuk meningkatkan skor dalam sektor tersebut.

 

"Pada masa ini, ekonomi halal dilihat lebih mencakupi dan berkembang sekitar sektor kewangan dan makanan, sekali gus memperlihatkan kewajaran kepada kita bahawa aspek ini perlu diberikan perhatian dan diperbetulkan," katanya.

 

Sementara itu, Ismail Sabri menyambut baik penubuhan Dana Endowmen Ekonomi Halal dan berharap usaha itu dapat memperkasakan aktiviti akademik dan intelektual dalam bidang ekonomi halal agar Malaysia dapat menerajui agenda ekonomi halal di peringkat pengajian tinggi.

 

Beliau berkata, tujuan utama penubuhan dana endowmen adalah membangunkan kepemimpinan dalam penyelidikan dan pendidikan dalam bidang ekonomi halal. Ini meliputi bidang Sains dan Teknologi, dan Sains Kemanusiaan.

 

"Saya juga dimaklumkan kerjasama erat pihak Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI) dan Hadhari Global Foundation dengan pihak Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membawa kepada kelahiran Dana Endowmen Ekonomi Halal yang turut dilancarkan pada hari ini.

 

"Pada masa sama, saya ingin melihat program pembangunan modal insan dalam bidang ekonomi halal di peringkat antarabangsa juga dapat dilaksanakan. Pihak kementerian khususnya Kementerian Pengajian Tinggi, JAKIM, HDC dan pihak industri diseru supaya dapat menyokong usaha murni ini.

 

"Kerjasama dan usaha ini sejajar dengan wawasan negara untuk mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 2015-2030) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya. - DagangNews.com