Peningkatan populasi masyarakat Islam pacu perkembangan portfolio poduk halal Pharmaniaga - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Peningkatan populasi masyarakat Islam pacu perkembangan portfolio poduk halal Pharmaniaga - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Feb - MIDF Research menjangkakan peningkatan populasi masyarakat Islam di seluruh dunia akan membantu perkembangan portfolio produk halal Pharmaniaga Berhad.

 

Dengan jangkaan permintaan yang semakin meningkat di Asia Pasifik, firma itu percaya bahawa penubuhan kilang pembuatan halal di Malaysia akan mengurangkan kebergantungan mengimport produk halal dari wilayah lain selain mengurangkan kos logistik untuk kumpulan itu.

 

Katanya, pasaran farmaseutikal halal global dijangka bernilai kira-kira AS$160 bilion (RM689.2 bilion) menjelang 2050, sejajar dengan jangkaan pertumbuhan penduduk Islam dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) lima tahun sebanyak 14%.

 

"Pharmaniaga terus mempamerkan usaha menyeluruhnya dalam menembusi pasaran farmaseutikal halal.

 

"Selain itu, penduduk Islam Asia Pasifik dijangka kekal sebagai pengguna farmaseutikal halal terbesar, walaupun anggaran penurunan bilangan penduduk dari 2030 kepada 2050 sebanyak -0.1%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu melalui anak syarikatnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn. Bhd. berjaya memasang mesin pengisian pre-filled syringe (PFS), yang pertama di Malaysia untuk pengilangan produk vaksin, baru-baru ini.

 

Kilang vaksin itu adalah sebahagian daripada pelan pembangunan berterusan Pharmaniaga LifeScience  ke arah menjadi kilang pengeluaran vaksin halal pertama di dunia.

 

Selain mesin pengisian PFS, kilang itu juga telah memasang mesin pembungkusan, termasuk mesin denester, mesin pemeriksaan visual automatik (AVI), mesin plunger rod insertion, mesin pelabelan dan mesin pensterilan. 

 

Kilang insulin halal itu disasarkan siap pada suku keempat 2023 dan disasarkan untuk dikomersialkan pada 2024 untuk vaksin manakala 2025 untuk insulin.

 

Firma itu tidak membuat sebarang perubahan unjuran pendapatan selepas mengambil kira proses komersial produk halal kumpulan itu hanya akan berlangsung selepas kilang itu beroperasi sepenuhnya.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 77 sen," katanya. - DagangNews.com