KUALA LUMPUR 13 Julai - Penglibatan Rhone Ma Holdings Bhd. dalam penternakan tenusu dijangka membuahkan hasil yang positif kepada pertumbuhan kumpulan pada masa hadapan selain memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya menerusi penyelesaian kesihatan haiwan.
Ini membolehkan Public Investment Bank Research memberi penarafan 'outperform' ketika memulakan liputan terhadap Rhone Ma dengan harga sasaran sebanyak 88 sen sesaham.
Firma itu melihat potensi pertumbuhan jangka panjang menerusi langkah pengembangannya dalam penternakan tenusu memandangkan Malaysia menyasarkan untuk mencapai 100% sara diri bagi susu segar menjelang 2025 di bawah Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara.
Katanya, ketika ini ladang ternakannya memiliki 300 ekor lembu dan dijangka meningkat kepada 500 ekor menjelang akhir tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).
"Kumpulan ini akan memberi tumpuan kepada penghasilan susu A2, yang lebih sihat daripada susu lembu biasa dan lebih sesuai untuk individu yang mempunyai intoleransi laktosa," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara dasarnya, Rhone Ma terlibat dalam penawaran hujung ke hujung bagi penyelesaian kesihatan haiwan, pengagihan dan bekalan bahan makanan, penawaran ujian dan diagnostik bagi penjagaan kesihatan manusia dan penternakan tenusu.
Sebanyak 98.4% hasilnya pada FY21 disumbangkan menerusi pasaran domestik manakala 1.6% lagi dari luar negara seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Myanmar, Brunei, Singapura dan Taiwan.
Pada 2020, Rhone Ma melengkapkan pelaburan sebanyak 490,000 saham biasa dalam Nor Livestock Farm (NLF), yang mewakili 49% kepentingan ekuiti yang membolehkannya menceburi bidang penternakan tenusu dan pengeluaran susu segar.
NLF memiliki ladang seluas 6 ekar di Batang Kali, Selangor yang mempunyai 300 ekor lembu, kini terdiri daripada campuran lembu baka tulen, lembu betina dan anak lembu Holstein A2A2.
Selain itu, Rhone Ma telah melengkapkan penempatan persendirian pada Mac 2022 dengan hasil yang diperoleh dijangka digunakan untuk menubuhkan kilang pemprosesan susu yang dijadualkan siap dan memulakan operasi menjelang suku ketiga FY25.
Menurut Public Investment, kilang pemprosesan susu ini dijangka memiliki kapasiti sehingga 14.4 juta liter setahun, dan ini sejajar dengan pelan Rhone Ma untuk melancarkan jenama susu miliknya.
Firma itu berkata, selain penternakan tenusu, perniagaan terasnya dalam kesihatan haiwan juga dijangka berkembang pada kadar yang stabil disokong populasi yang bertambah termasuk golongan berpendapatan pertengahan yang akan meningkatkan permintaan terhadap ternakan.
Berdasarkan prospek positif ini, ia mengunjurkan hasil 3 tahun dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 15% memandangkan pertumbuhan populasi dan pendapatan boleh guna akan mendorong kepada permintaan yang lebih tinggi bagi produk kesihatan haiwan.
"Segmen penyelesaian kesihatan haiwan hujung ke hujung harus terus memacu pertumbuhan pendapatan kumpulan dalam jangka terdekat hingga sederhana," katanya. - DagangNews.com








