Penghormatan terakhir, solat jenazah Ali Hamsa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya hari ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penghormatan terakhir, solat jenazah Ali Hamsa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya hari ini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 25 April - Jenazah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3, Putrajaya untuk penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni hari ini, bermula 11 pagi hingga 1 tengah hari.

 

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, penerbangan membawa jenazah telah dijadualkan semula dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.30 pagi Isnin.

 

"Jenazah akan disembahyangkan selepas solat zohor di Dewan Solat Utama. Jenazah akan dibawa dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sejurus selepas selesai solat jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya. 

 

"Pelawat-pelawat yang akan memberikan penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah dinasihatkan untuk tiba di dewan mulai jam 11.00 pagi hingga ke 1.00 tengah hari sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya pada jam 1.30 tengah hari," menurut kenyataan itu.

 

Sebelum ini, jenazah dijadualkan tiba di KLIA pada 3 pagi Isnin sebelum dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

 

Ali, 66, yang berkhidmat sebagai KSN ke-13 selama enam tahun dari 2012, meninggal dunia di Hospital Dublin, Ireland pada Khamis. - DagangNews.com