Pengguna GrabFood di Malaysia raih penjimatan lebih RM27 juta menerusi Saver Delivery | DagangNews Skip to main content

Pengguna GrabFood di Malaysia raih penjimatan lebih RM27 juta menerusi Saver Delivery

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Sept - Pengguna GrabFood di Malaysia meraih penjimatan lebih RM27 juta setakat ini hanya dengan menggunakan Saver Delivery. 

 

Selain itu, di serantau Asia Tenggara pula, Saver Delivery membantu pengguna jimat lebih daripada RM81 juta, sehingga Ogos 2023.

 

Sebahagian daripada jumlah ini dicapai selepas pelancaran pilihan penghantaran Saver yang merangkumi lebih banyak bandar di Asia Tenggara.

 

Walaupun masa yang diambil untuk penghantaran adalah lebih panjang, pengguna di Malaysia dan di seluruh rantau berpuas hati dengan pesanan mereka.

 

Daripada pesanan yang telah diberi ulasan, sekurang-kurangnya 96% daripada rakan penghantar telah menerima penilaian 5 bintang. 

 

Rakyat Malaysia memang sentiasa mencari tawaran yang hebat, maka tidak hairanlah negara yang paling banyak memilih Saver adalah Malaysia, membentuk sekitar satu pertiga daripada jumlah pesanan makanan. 

 

Ia diikuti dengan Singapura dan Filipina berdasarkan jumlah penghantaran Saver bagi negara-negara ini.

 

 

grab

 

 

Ketua Pemasaran Grab Malaysia, Hassan Alsagoff berkata, Saver Delivery memperluaskan lingkupan pengguna, mengurangkan caj penghantaran, sambil membantu memudahkan akses kepada perkhidmatan penghantaran makanan. 

 

"Pilihan lain yang ditawar adalah berdasarkan prinsip yang sama, setiap satu berlabuh kepada pemacu utama yang difikirkan oleh pengguna apabila mereka memesan makanan. 

 

"Matlamat kami adalah untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia, tidak kira di mana mereka berada, dan dalam pelbagai cara yang kami boleh - daripada mereka yang lebih mengutamakan bajet kepada mereka yang mengutamakan kelajuan, dan banyak lagi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Tambahnya, pihaknya sentiasa mencari cara untuk memberikan lebih nilai kepada semua pengguna, termasuk pelanggan, rakan penghantar dan rakan pemandu, serta rakan pedagang. 

 

"Baru-baru ini kami mengemaskini aplikasi untuk memberikan gambaran yang lebih jelas bagi setiap pesanan, termasuk pemaparan caj penghantaran yang telah ditetapkan bagi setiap pengguna dan pemaparan pesanan perjalanan dan penghantaran mereka dalam masa nyata," katanya. - DagangNews.com