KUALA LUMPUR 23 Mac - Kerajaan mungkin perlu menaikkan umur persaraan bagi membina semula tabung simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengurangkan beban yang ditanggung kerajaan bagi menyokong golongan warga emas, demikian menurut CGS-CIMB Research.
Penganalisisnya, Nazmi Idrus menyifatkan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kerajaan berdepan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi.
Ini kerana, katanya, mengisi semula simpanan ahli memakan masa bertahun-tahun dan kesukaran untuk mencapai simpanan asas penuh mungkin bermakna negara tidak dapat membuat persediaan secukupnya untuk menghadapi krisis yang lebih besar pada masa akan datang.
Pada masa, terdapat juga risiko terhakisnya kepercayaan terhadap KWSP sebagai dana simpanan persaraan ahli-ahlinya.
"Kekurangan perlindungan dana KWSP terhadap pengaruh politik mungkin dilihat sebagai kelemahan dalam organisasi yang mungkin mempunyai implikasi selanjutnya kepada pasaran kewangan.
"Persoalan lain yang turut dibangkitkan, adalah sama ada kerajaan akan membuat pelarasan fiskal yang diperlukan untuk mengimbangi pengeluaran khas ini.
"Ini termasuklah perubahan kepada mekanisme subsidi di tengah kenaikan harga komoditi, dan juga pengenalan cukai penggunaan baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 bagi membantu pencarum yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui 3 skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion membabitkan 7.34 juta pencarum sejak wabak itu melanda negara 2 tahun lalu.
Menerusi pengeluaran khas kali keempat itu, ahli dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50, dan perlu mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun 2 mereka dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun 1.
Menurut Nazmi, KWSP menganggarkan pencarumnya perlu bekerja antara 4 hingga 6 tahun lagi selepas bersara bagi membina semula simpanan yang telah digunakan ketika pandemik.
Katanya, ia dijangka meningkat lagi selepas pengeluaran khas ini, justeru, usaha perlu dilaksanakan untuk mula membina semula simpanan.
"Tetapi, apa yang bernasib baik, bagi mereka yang telah menggunakan kemudahan khas tersebut, semua caruman KWSP seterusnya akan dimasukkan ke dalam Akaun 1 untuk menambah simpanan sehingga jumlah yang dikeluarkan telah diganti.
"Ini meninggalkan Akaun 2 sifar dana yang ditetapkan untuk tujuan lain seperti pendidikan atau pembelian harta, yang akan menjejaskan penggunaan dan pelaburan pada masa hadapan," jelasnya.

Berdasarkan anggaran KWSP, bagi ahli berumur 54 tahun, simpanan median menurun kepada RM37,000 pada Disember 2021, daripada RM41,000 sebelum pandemik.
Dengan mengambil kira pengeluaran setiap RM1,000 sebulan, sokongan pendapatan hanya bertahan bagi tempoh 3 tahun lagi.
"Jumlah ini jauh daripada simpanan asas yang disyorkan KWSP sebanyak RM240,000. Individu perlu mempunyai sekurang-kurangnya jumlah itu dalam simpanan mereka jika membelanjakan purata RM1,000 sebulan selama 20 tahun selepas bersara.
"Malah, keperluan asas simpanan berdasarkan pendapatan garis kemiskinan isi rumah sebanyak RM930 sebulan, adalah lebih rendah daripada gaji sara hidup RM2,700 untuk dewasa bujang di Kuala Lumpur seperti yang disyorkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.
Beliau berkata, lebih memburukkan keadaan, hanya 27% daripada ahli aktif mampu memenuhi keperluan asas simpanan, menurun daripada 36% sebelum pandemik COVID-19.
"Agak menyedihkan, 3 pengeluaran khas yang lalu telah menyukarkan usaha selama 10 tahun untuk mencapai matlamat simpanan asas penuh, yang mungkin bertambah buruk dengan pengeluaran khas terbaharu," ujar beliau.
Bagaimanapun, Nazmi menjangkakan, pengeluaran kali ini adalah lebih menyederhana sekitar RM15 hingga RM20 bilion berbanding 3 pengeluaran sebelum ini, memandangkan kebanyakan ahli mungkin tidak mempunyai baki jumlah yang mencukupi untuk pengeluaran penuh.
Di samping itu, rakyat juga semakin kurang memerlukan bantuan kewangan melalui pengeluaran ini, dengan jangkaan pulangan pelaburan yang lebih baik pada masa hadapan memandangkan prestasi KWSP yang kukuh pada tahun lalu.
Bagi 2021, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.1% bagi Simpanan Konvensional manakala 5.65% untuk Simpanan Syariah. - DagangNews.com








