Pengeluar sarung tangan masih berdepan tekanan, dijangka terus catat kerugian - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluar sarung tangan masih berdepan tekanan, dijangka terus catat kerugian - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - Public Investment Bank (PublicInvest) kekal dengan saranan 'underweight' terhadap sektor sarung tangan dan mengekalkan saranan 'underperform' untuk tiga syarikat di bawah liputan mereka.

 

Firma itu berkata, kesemua tiga pengeluar sarung tangan di bawah liputannya iaitu Top Glove Corp Berhad, Hartalega Holdings Berhad dan Kossan Rubber Industries Berhad baru-baru ini telah mengambil langkah untuk mengurangkan kapasiti pemasangan tahunan mereka dengan menutup kemudahan usang.

 

Firma itu percaya bahawa kadar penggunaan keseluruhan industri akan kekal di bawah paras pulang modal berikutan permintaan global yang lebih lemah untuk sarung tangan.

 

"Kami tidak menjangkakan sebarang pemulihan yang membawa kepada keuntungan pada separuh kedua tahun ini.

 

"Kerugian dijangka berterusan berikutan tekanan harga dari China selain kos elektrik dan tenaga kerja yang meningkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, keputusan terkini yang dilaporkan pengeluar sarung tangan di bawah liputannya menunjukkan bahawa sektor itu masih menghadapi masalah.

 

“Kossan dan Top Glove kekal merah manakala Hartalega melaporkan kejatuhan 96% dalam keuntungan bersih teras selepas membuat penyelarasan untuk kerugian rosot nilai sekali sahaja daripada penamatan kemudahan Bestari Jaya.

 

"Semua pengeluar masih berjalan pada kadar penggunaan yang rendah berikutan keadaan lebihan bekalan sarung tangan yang berpanjangan dengan rintangan pelanggan terhadap kenaikan purata harga jualan (ASP)," katanya.

 

Firma itu berkata, langkah mengurangkan kapasiti pengeluaran akan membantu meredakan keadaan kapasiti berlebihan yang berlaku di pasaran.

 

“Walaupun begitu, kami tidak menjangka pengeluar Malaysia mencapai tahap pulang modal dalam masa terdekat kerana kadar penggunaan sepatutnya kekal rendah (sekitar 50% atau lebih rendah) berikutan permintaan global yang lemah.

 

“Pelanggan masih enggan membuat tempahan yang besar kerana mereka boleh menerima penghantaran mereka dalam tempoh masa yang lebih singkat.

 

“Bagaimanapun, kami ambil perhatian bahawa pemberhentian kemudahan lama akan membawa kepada kos operasi yang lebih rendah dan dengan itu, membantu mengurangkan tekanan kos yang meningkat dalam jangka masa terdekat,” katanya. - DagangNews.com