Pengekalan OPR pada paras 3% sehingga akhir tahun ini sokong ekonomi Malaysia – AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengekalan OPR pada paras 3% sehingga akhir tahun ini sokong ekonomi Malaysia – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Mac - AmInvestment Bank Research terus melihat tiada tekanan sebenar ke atas Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan atau mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) dan mengunjurkan ia kekal pada paras 3% sehingga akhir tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berpendapat bahawa BNM berpendirian ‘neutral’ terhadap hala tuju dasar dan dalam kenyataan baharu Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), ia melihat tahap OPR semasa dan pendirian dasar monetari kekal 'menyokong' ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa inflasi dan prospek pertumbuhan.

 

Firma tersebut berkata, tekanan inflasi telah berkurangan memandangkan data inflasi domestik terkini menunjukkan bacaan yang masih lembap. 

 

Jelasnya, inflasi utama tahun penuh 2023 di Malaysia adalah jauh lebih rendah pada 2.5% tahun ke tahun (YoY) berbanding 3.4% YoY pada 2022 dan trend menurun tekanan inflasi diperkukuh lagi oleh pertumbuhan inflasi yang lemah pada Januari 2024 sebanyak 1.5% YoY.

 

“Oleh itu, data ini menyokong jangkaan kami bahawa tiada tekanan inflasi dalam tempoh terdekat. Bagi 2024, kami melihat inflasi utama berada dalam julat 2.5% hinga 3.5%. 

 

“Tinjauan inflasi kami yang lebih tinggi adalah berdasarkan kesan asas dan tekanan inflasi dari segi penawaran, seperti semakan cukai penggunaan dan rasionalisasi subsidi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, AmInvestment percaya bahawa tahap kadar faedah terkini adalah salah satu pemacu utama dalam mengekalkan permintaan domestik tatkala pengetatan langkah dasar fiskal yang diumumkan oleh kerajaan. 

 

“Oleh itu, adalah penting untuk perbelanjaan domestik disokong kerana pemulihan eksport masih menghadapi risiko luaran yang berterusan,” tambahnya.

 

Firma penyelidikan tersebut menambah bahawa dasar monetari mementingkan keseimbangan antara pertumbuhan dan inflasi, dan bukannya mengejar perbezaan kadar faedah. 

 

Firma itu melihat dasar monetari sebagai langkah mencari keseimbangan yang dikehendaki antara pertumbuhan ekonomi (luaran dan domestik) dan inflasi dan bukannya mengejar perbezaan kadar faedah. 

 

“Kami berpendapat bahawa OPR pada paras 3% adalah bersesuaian dengan keadaan semasa global, inflasi dan risiko pertumbuhan,” katanya. - DagangNews.com