KUALA LUMPUR 17 Jan - Pengecualian cukai keuntungan modal (CGT) akan melonjakkan prestasi pasaran modal di samping memberi manfaat kepada lebih 90% pelabur individu yang membuat pelaburan dalam industri unit amanah.
Rakan Kongsi Cukai PwC Malaysia, Jennifer Chang berkata pengecualian itu akan menggalakkan lebih banyak unit amanah diwujudkan dalam pasaran modal.
“Jika anda mengenakan CGT terhadap unit amanah serta menguatkuasakan cukai ke atas pendapatan sumber asing daripada unit amanah, secara tidak langsung anda mengenakan cukai kepada orang ramai kerana lebih 90% pemegang unit amanah adalah orang biasa.
“Munasabah untuk mengecualikan unit amanah kerana jika anda dan saya (individu) melabur secara langsung dalam syarikat Malaysia atau dalam pelaburan asing, kita tidak dikenakan cukai apabila memperoleh keuntungan modal atau membawa balik wang itu dari luar negara.
“Jika pengecualian ini menggalakkan pelaburan dalam unit amanah, maka lebih banyak unit amanah akan diwujudkan,” katanya kepada Bernama.
Pada Selasa, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan bersetuju untuk mengecualikan cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai ke atas pendapatan luar negara (FSI) bagi unit amanah.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan setuju kecualikan cukai keuntungan modal ke atas unit amanah - Menteri Kewangan II
Pengecualian CGT berkuat kuasa 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2028, manakala pengecualian cukai ke atas FSI daripada unit amanah pula bermula 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026.
Beliau berkata melalui pelbagai libat urus mengenainya yang diadakan kerajaan, satu akibat yang tidak diingini dan terjejas ekoran pelaksanaan CGT adalah unit amanah, memandangkan 90% daripada pemegang unit amanah adalah individu.
CGT diumumkan kali pertama semasa pembentangan Bajet 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu mulai 1 Mac 2024, CGT akan dikenakan terhadap penjualan saham tidak tersenarai oleh syarikat.
Bagi saham diperoleh sebelum 1 Mac 2024 pula, penjual boleh memilih untuk membayar 2% CGT berdasarkan nilai jualan kasar atau 10% daripada keuntungan bersih daripada penjualan itu.
Saham yang diperoleh pada atau selepas 1 Mac 2024 pula mungkin dikenakan 10% CGT daripada keuntungan bersih dan pengecualian mungkin dikenakan ke atas penjualan dalam keadaan tertentu, seperti pada tawaran awam permulaan (IPO) yang diluluskan oleh Bursa Malaysia dan langkah penstrukturan semula dalaman kumpulan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengecualian itu akan mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan akan memberi lebih banyak masa kepada peserta industri untuk membiasakan diri dengan CGT memandangkan pengecualian itu hanya akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2028.
Menurut beliau, langkah tersebut akan membantu meningkatkan pulangan pelaburan bersih bagi pemegang unit amanah.
“Dari sudut lain, kerajaan bersikap pragmatik dalam pendekatannya untuk memastikan kedudukan fiskal kukuh dengan mencapai keseimbangan tepat antara mengukuhkan kedudukan kewangan dan pada masa sama, mengekalkan persekitaran yang akan menggalakkan masyarakat kita menabung dan melabur secara bertanggungjawab melalui unit amanah.
“Sebenarnya, ini boleh memberi kesan limpahan positif kepada Bursa Malaysia dan industri pasaran modal,” ujar beliau. - DagangNews.com








