Pengawal selia audit ASEAN adakan bengkel FSSG tingkatkan pematuhan pelaporan kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengawal selia audit ASEAN adakan bengkel FSSG tingkatkan pematuhan pelaporan kewangan

Pengawal selia audit ASEAN semasa bengkel FSSG
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini menjadi tuan rumah bagi bengkel anjuran Kumpulan Pengawal Selia Audit ASEAN (AARG) dan Kumpulan Pemantauan Penyata Kewangan (FSSG) yang menyasar untuk meningkatkan kualiti audit dan pematuhan pelaporan kewangan di rantau ini. 

 

Bengkel itu menghimpunkan pengawal selia dan peneraju industri dari Hong Kong, India, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina.

 

Bengkel tersebut diadakan selaras dengan usaha berterusan negara-negara ASEAN yang menganggotai Forum Antarabangsa Pengawal Selia Audit Bebas (IFIAR) dalam menggalakkan kerjasama dan pengkongsian ilmu.

 

Menurut SC, antara isu-isu yang dibincangkan oleh anggota AARG termasuk pelaksanaan keperluan baharu Piawaian Antarabangsa mengenai Pengurusan Kualiti (ISQM) yang akan digunapakai untuk firma audit serta pendekatan terhadap semakan ISQM 1 di seluruh ASEAN.

 

"Bagi meneruskan usaha dalam memacu penguatkuasaan peraturan audit yang berkesan, AARG memberi tumpuan kepada strategi penguatkuasaan dan komunikasi serta  mengadakan perbincangan dengan pucuk kepimpinan serantau tiga firma audit rangkaian global.

 

"Sementara itu, perbincangan anggota bengkel FSSG pula bertumpu kepada kepentingan konsistensi dalam pelaporan kewangan, yang merupakan cabaran lazim bagi pengawal selia pasaran kewangan global semasa," ulas SC dalam kenyataan hari ini.

 

Katanya, pelaporan konsisten akan membantu memastikan penilaian penyata kewangan yang lebih tepat, serta memudahkan perbandingan bukan sahaja di peringkat syarikatn tetapi dalam kalangan syarikat, industri dan bidang kuasa yang berbeza dari semasa ke semasa.

 

"Bengkel ini juga meneroka strategi dan pendekatan pemantauan yang berkesan, termasuk penyepaduan teknologi yang menyeluruh," ujar SC.

 

Sementara itu, pengawal selia audit dan pemantauan seterusnya menegaskan semula kepentingan pematuhan terhadap peraturan pelaporan kewangan dalam menegakkan integriti pasaran dan meningkatkan perlindungan pelabur.- DagangNews.com