Penganalisis kekal pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan | DagangNews Skip to main content

Penganalisis kekal pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Mac - Di sebalik pendirian berhemat Bank Negara Malaysia (BNM), penganalisis yakin pelabur akan terus berpusu-pusu memasuki ruang perbankan. 

 

Kenanga Research dalam nota kajiannya berkata, walaupun bersetuju dengan nada berhati-hati yang diambil oleh BNM, tetapi ia percaya masih wujud nilai dengan melabur dalam sektor itu, kerana pendedahan kepada ekonomi yang lebih luas boleh melindungi pelabur daripada ancaman khusus dalam sektor berkenaan.

 

Ini membolehkan firma itu buat masa ini mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan. 

 

Menurutnya, dalam tempoh beberapa tahun ini banyak pengajaran yang diperoleh dalam mengemudi sosioekonomi yang dipengaruhi persekitaran COVID-19 yang BNM jangkakan akan mereda menjadi lebih baik.

 

"Namun, masih wujud ketidaktentuan daripada perang Rusia-Ukraine walaupun mungkin tidak memberi kesan secara material kepada ekonomi tempatan kerana hubungan dagangan yang tidak ketara.

 

"Setakat ini, BNM kekal teguh dengan pendirian neutral mengenai kadar dasar semalaman (OPR) bagi meminimumkan gangguan dalam pemulihan dan kestabilan harga," katanya. 

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, kebanyakan bank di Malaysia menjangkakan sekurang-kurangnya sekali kenaikan OPR pada separuh kedua ini.

 

Semalam, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam sesi taklimat secara maya mengumumkan Laporan Tahunan BNM 2021, menegaskan bahawa pendirian berkaitan dasar monetari semasa kekal wajar dan akomodatif berdasarkan unjuran serta pertumbuhan inflasi pada 2022.

 

Malah, bank pusat itu turut mengambil maklum mengenai keadaan tidak dijangka dan tidak pernah berlaku sebelum ini yang sebaliknya memerlukan sokongan monetari ketika kemuncak pandemik COVID-19 dan kini hampir berakhir.

 

Sejajar dengan penetapan OPR pada paras terendah 1.75%, BNM juga menyedari kesan serta impak mengekalkan paras berkenaan dalam tempoh lama serta boleh menyumbang kepada ketidakseimbangan kewangan.

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research turut mengulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan dengan menjangkakan pemulihan pendapatan secara berterusan tahun ini.

 

Firma itu menganggarkan sektor perbankan akan merekodkan pertumbuhan untung bersih teras sebanyak 4.1%.

 

"Pemangkin penilaian semula akan menjadi kitaran menurun dalam peruntukan kerugian pinjaman (LLP) dan pengembangan dalam margin faedah bersih (NIM), berikutan jangkaan kenaikan OPR pada separuh kedua 2022," jelasnya.

 

MIDF Research pula berkata, bank-bank dijangka mengharungi kemerosotan dalam kualiti aset pada suku akan datang dengan perlindungan kerugian pinjaman dan nisbah modal yang mencukupi.

 

"Namun, di sebalik ketidaktentuan ini, kami masih memihak kepada sektor perbankan terutamanya untuk mengurangkan kos kredit pada 2022, prestasi struktur yang lebih baik dan potensi hapus kira peruntukan awal pada 2023," katanya yang mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor perbankan bagi tahun ini. - DagangNews.com