Penduduk Mukim Rimba Terjun sertai program pendidikan pertanian UPM | DagangNews Skip to main content

Penduduk Mukim Rimba Terjun sertai program pendidikan pertanian UPM

Siri ceramah mengenai pertanian yang dikelolakan oleh UPM di Kampung Sungai Bunyi, Pontian di Johor baru-baru ini.
Oleh MAHANI AMAT @ HALIMI

SERDANG 30 Mac - Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kawasan 6, Kampung Sungai Bunyi, Mukim Rimba Terjun di Pontian, Johor telah mengadakan Program Pendidikan dan Pertanian Putra pada 24 hingga 26 Mac 2022 yang lalu di perkarangan Masjid Kampung Sungai Bunyi.

 

Kira-kira 500 orang penduduk Mukim Rimba Terjun telah hadir di dalam program pemindahan ilmu berkaitan pertanian dan pendidikan.

 

Sebanyak 20 slot pemindahan ilmu telah disediakan merangkumi pendidikan kesihatan, pertanian seperti pengurusan tanaman kelapa sawit, cilik pertanian, demonstrasi cantuman pokok, pertanian bandar, penyediaan kompos, aquaponik, jualan anak pokok, demonstrasi masakan berasaskan nenas, pertandingan memancing, pertandingan memasak yang bertemakan masakan jawa dan lain-lain.

 

Program yang dikendalikan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC UPM) ini membawa 80 orang pegawai UPM dalam pelbagai bidang kepakaran untuk menyantuni komuniti di Pontian. Komuniti juga berpeluang untuk mendapatkan khidmat nasihat di lapangan melalui Klinik Pakar Pertanian di Bas Pengembangan Putra.

 

UPM melalui Fakulti Perubatan Veterinar turut memberikan perkhidmatan secara percuma untuk pemeriksaan am haiwan kesayangan kucing melalui Klinik Bergerak Veterinar. Sebanyak 130 ekor kucing telah menerima perkhidmatan secara percuma.


 

UPM

 

UPM


 

UPM

 


Selain itu, khidmat nasihat penanaman dan penjagaan yang turut diberikan oleh Pusat Pertanian Putra dan lebih 300 anak pokok buah-buahan UPM turut terjual kepada komuniti setempat sepanjang tiga hari program berlangsung.

 

Pengarah UCTC UPM, Prof. Dr Loh Teck Chwen berkata, tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan pertanian dan pendidikan dalam kalangan komuniti Mukim Rimba Terjun khususnya dan Pontian amnya.

 

“Selain itu, program ini turut disusuli dengan fasa dua dan tiga yang memfokuskan kepada kumpulan sasar yang lebih kecil mengikut kepada isu dan permasalahan yang dihadapi oleh komuniti agar memberikan impak yang lebih baik,” ujarnya lagi.


 

UPM

 


Program ini turut menyantuni penternak kelulut di lapangan di kawasan Kampung Sungai Bunyi oleh pakar UPM selaras dengan motto UPM iaitu Berilmu, Berbakti. Permasalahan yang dihadapi oleh penternak kelulut telah dihubungkan secara terus kepada pakar UPM.

 

Bagi pelajar-pelajar bakal dan lepasan SPM/STPM turut tidak ketinggalan hadir di program ini bagi mendapatkan panduan untuk menyambung pelajaran di UPM.


 

UPM

 


Selain itu, beberapa agensi di daerah Pontian seperti Agensi Antidadah Kebangsaan, Pejabat Pertanian, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan PERKESO turut terlibat dalam aktiviti pameran yang disediakan.

 

Ketua Kampung Kawasan 6, Kampung Sungai Bunyi, Halif Kamaruddin berkata, program seumpama ini wajar dilaksanakan kerana dapat membantu orang kampung dan penduduk saya dalam meningkatkan pengetahuan dari pelbagai aspek seperti pendidikan, ekonomi dan sosial. 

 

“Kerjasama di antara pihak UPM dengan JPKK dapat membantu penduduk ke arah meningkatkan pendapatan keluarga. Ilmu itu titik tolak kepada perubahan sosio ekonomi. Tanpa ilmu, kita tidak akan ke mana. Oleh itu, kerjasama UPM perlu diteruskan di masa akan datang,” kata beliau.


 

UPM

 


Program ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tanjung Piai Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng yang juga Timbalan Menteri, Kementerian Perusahaan Perladangan & Komoditi, dan turut menyaksikan sumbangan tiga buah Smart TV daripada UPM kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Bunyi untuk kegunaan di bilik darjah.

 

Turut hadir dalam program ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Tan Eng Meng dan ADUN Kukup, Dato’ Jefrydin Atan yang telah memenangi kerusi DUN pada pilihan raya negeri Johor baru-baru ini. – DagangNews.com

 

Mahani Amat @ Halimi adalah Pegawai Pertanian Kanan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM