Penduduk Malaysia kini berjumlah 32.4 juta - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penduduk Malaysia kini berjumlah 32.4 juta - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) menunjukkan Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di MSU Shah Alam hari ini
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SHAH ALAM 14 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk adalah 1.7% dalam tempoh 10 tahun.

 

Perdana Menteri berkata, Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 menunjukkan daripada 32.4 juta penduduk yang telah dibanci, 52.3 peratus ialah lelaki, manakala 47.7 peratus ialah perempuan dengan nisbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita.

 

Beliau berkata, penemuan banci juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah di Putrajaya, di mana 100 orang wanita bersamaan 96 orang lelaki.

 

"Bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 69.4%, diikuti etnik Cina (23.2%), India (6.7%) dan lain-lain (0.7%)," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di Management and Science University (MSU) di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

 

Menurut Ismail Sabri, jumlah penduduk mengikut kewarganegaraan menunjukkan 29.8 juta atau 91.7% adalah warganegara dan 2.7 juta adalah bukan warganegara.

 

 

pm

 

 

"Dari segi tempat kediaman pula, sebanyak 9.6 juta telah dibanci. Terdapat 8.2 juta Isi Rumah (IR) dengan Purata Saiz IR persendirian adalah sebanyak 3.8%," katanya.

 

 

pm

 

 

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, penduduk warga emas berumur 60 tahun ke atas direkodkan sebanyak 3.4 juta atau 10.5% daripada keseluruhan penduduk.

 

"Jumlah itu meningkat berbanding pada tahun 2010 yang mencatatkan 2.2 juta penduduk atau 8%. Umur muda telah menunjukkan penurunan daripada 27.6% pada 2010 kepada 24.0% pada 2020," katanya.

 

 

pm

 

 

Beliau berkata, Penemuan Banci 2020 akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan dasar yang berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat.

 

"Selain itu, akan dapat memberikan input yang menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs)," katanya.

 

 

pm

 

 

Katanya, dalam menghasilkan statistik kependudukan dan demografi melalui pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 ini, kolaborasi dan kerjasama strategik antara Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kementerian, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan serta pihak swasta dan masyarakat umum telah terjalin erat bagi menjamin integriti data yang diterbitkan. - DagangNews.com