Pendigitalan industri kewangan tingkat risiko pengubahan wang haram | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendigitalan industri kewangan tingkat risiko pengubahan wang haram

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - Risiko yang muncul disebabkan oleh pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan semakin rancak susulan peralihan ke arah pendigitalan yang semakin pantas terutamanya dalam industri kewangan.

 

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Marzunisham Omar, berkata dalam masa sama, pendedahan maklumat berprofil tinggi seperti Panama Papers, kebocoran Rangkaian Penguatkuasaan Jenayah Kewangan Amerika Syarikat (FINCEN) dan Pandora Papers baru-baru ini menarik minat yang besar mengenai rejim Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Membanteras Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Sasaran (AML/CFT/CPF).

 

Katanya, keadaan itu membawa kepada jangkaan yang lebih tinggi untuk pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap aktiviti yang membabitkan aliran rentas sempadan dana haram serta ancaman pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan (ML/TF/PF) yang lebih luas. 

 

"Lebih kerap daripada tiada, maklumat mengenai aktiviti terlarang ini disimpan oleh pelbagai pihak di seluruh sektor awam dan swasta. Oleh itu, sebarang syak wasangka hanya akan timbul jika kita dapat menghubungkan dan menyepadukan maklumat berkenaan. 

 

"Dalam usaha ini, kerjasama yang lebih erat dalam kalangan agensi penguatkuasaan undang-undang (LEA) dan sektor swasta adalah penting untuk menghubung serta menilai dengan cekap dan berkesan semua maklumat yang berkaitan, yang pastinya akan mengukuhkan lagi usaha untuk memerangi ancaman ML/TF/PF," katanya pada Bengkel Tipologi Kumpulan Asia/Pasifik mengenai Pengubahan Wang Haram (APG) ke-23 yang diadakan secara maya hari ini.

 

Tambahnya, Perkongsian Awam-Swasta (PPP) sedang mendapat momentum dan semakin diperakui sebagai faktor kejayaan utama untuk perkongsian maklumat yang berkesan dalam ekosistem AML/CFT/CPF. 

 

Beliau berkata, sebagai contoh, Pasukan Petugas Perisikan Pengubahan Wang Haram Bersama (JMLIT) yang ditubuhkan oleh United Kingdom pada 2016 mendorong perubahan penting dalam menangani ancaman ML/TF. 

 

Katanya, setakat Jun 2020, JMLIT menyelesaikan lebih 750 kes dan mengesan lebih 5,000 akaun yang disyaki dikaitkan dengan jenayah kewangan. 

 

"Pencapaian yang sama turut dicatatkan Fintel Alliance di Australia, yang mana dalam tempoh antara 2018 hingga 2019, lebih 300 kes berjaya diselesaikan melalui perkongsian itu. Negara lain di rantau ini juga telah mengikutinya - Pasukan Petugas Perisikan Penipuan dan Pengubahan Wang Haram (FMLIT) Hong Kong dan Perkongsian Industri Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Melawan Pembiayaan Keganasan (ACIP) Singapura. 

 

"Di Malaysia, PPP dilaksanakan melalui Financial Intelligence Network (MyFINet), yang membabitkan kerjasama dan perkongsian maklumat antara LEA seperti BNM, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, di samping sektor swasta seperti institusi kewangan," katanya.  -DagangNews.Com