KUALA LUMPUR 24 Feb - CGS-CIMB Research menjangkakan Malakoff Corp Bhd. akan merekodkan pendapatan teras yang lebih lemah bagi tahun kewangan 2022 (FY2022) disebabkan impak pelaksanaan Cukai Makmur.
Pelaksanaan cukai itu diumumkan ketika pembentangan Bajet 2022 apabila kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara sekali sahaja, iaitu Cukai Makmur, kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi.
Syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022.
Namun, penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Ting berkata, keuntungan bersih teras Malakoff dijangka berkembang bagi FY2023 hingga FY2024 didorong prestasi loji janakuasanya yang lebih baik disebabkan jangkaan gangguan tidak dirancang lebih rendah.
Selain itu, katanya, ia turut dipengaruhi keuntungan Alam Flora yang diunjur lebih kukuh berikutan pengembangan perniagaan dan kemungkinan semakan semula tarif.
"Kos kewangan yang lebih rendah berikutan tahap gearan lebih rendah juga akan membantu menyokong prestasi Malakoff bagi tempoh itu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan yang diumumkan semalam, untung bersih Malakoff bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 susut 77.89% kepada RM9.21 juta berbanding RM41.64 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan hapus kira dan rosot nilai, di sebalik hasil yang lebih tinggi.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 28.4% kepada RM1.94 bilion daripada RM1.51 bilion, terutamanya disebabkan bayaran tenaga yang lebih tinggi daripada Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (TBP) berdasarkan harga arang batu (ACP) yang lebih tinggi.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY2021), untung bersih kumpulan susut 11.2% kepada RM254.55 juta daripada RM286.58 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM6.46 bilion daripada RM6.28 bilion bagi tempoh sama 2020.
Keuntungan bersih teras Malakoff bagi FY2021 adalah melebihi jangkaan yang dibuat CGS-CIMB pada 105% dan 104% konsensus Bloomberg bagi anggaran penuh tahun, disebabkan margin kasar yang lebih tinggi sumbangan menerusi syarikat bersekutu.
Ini mendorong firma tersebut menyelaraskan semula unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY2022 dan FY2023 masing-masing sebanyak 0.6% dan -0.5%.
Secara keseluruhan, ia mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham Malakoff dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM1.16 daripada RM1.05 sebelum ini, selepas mengemas kini jumlah hutang dan tunai sehingga akhir 2021.
"Kami menyukai saham syarikat ini berdasarkan profil pendapatannya semakin baik, mendapat manfaat daripada pertumbuhan kukuh dalam kapasiti tenaga diperbaharui dan hasil dividen yang baik lebih 6% bagi FY2022 hingga FY2024," jelasnya.
Setakat 9.55 pagi ini, harga saham Malakoff susut 1 sen atau 1.42% kepada 69.5 sen dengan 18.86 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








