Pendapatan SCIB meningkat kepada RM66.3 juta pada separuh pertama FY23 dipacu segmen pembuatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan SCIB meningkat kepada RM66.3 juta pada separuh pertama FY23 dipacu segmen pembuatan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 2.6% kepada RM66.3 juta pada separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (1HFY23) berbanding RM64.6 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Kerugian bersih kumpulan itu untuk separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) mengecil sebanyak RM3.7 juta berbanding RM4.03 pada tahun sebelumnya.

 

Mengulas berkenaan pendapatan kumpulan, SCIB menyatakan perniagaan pembuatan meningkat 6.9% kepada RM45.7 juta pada 1HFY23 berbanding RM42.8 juta pada tahun sebelumnya, manakala hasil perniagaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) menyusut kepada RM20.2 juta berbanding RM21.4 juta.

 

Bagi suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), pendapatan kumpulan menyusut 5.6% kepada RM36 juta daripada RM38.15 juta, manakala kerugian bersih melebar melebar kepada RM2.8 juta berbanding RM1.33 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Ini adalah berikutan penyusutan pendapatan perniagaan pembuatan kepada RM21.6 juta berbanding RM23.7 juta pada tahun sebelumnya, manakala sumbangan hasil perniagaan EPCC kekal stabil pada RM14 juta.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Rosland Othman dalam kenyataan hari ini berkata, pengeluar konkrit pratuang dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) kumpulan itu di Sarawak dan Sabah terus menjadi tunjang utama dari segi sumbangan hasil.  

 

 

Rosland Othman
Rosland Othman

 

 

“Pembuatan menyaksikan peningkatan dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM2 juta pada 1HFY23 berbanding RM300,000 pada 1HFY22 manakala PBT pembuatan bagi suku semasa dalam tinjauan meningkat dua kali ganda kepada RM1 juta berbanding RM500,000 pada suku yang sama tahun lalu,” tambahnya

 

Rosland optimis terhadap prospek kumpulan syarikat memandangkan ekonomi negara pada tahun ini bermula dengan momentum yang baik dan beransur-ansur meningkat berikutan pertumbuhan kukuh pada tahun lalu.

 

“Sektor pembinaan berkembang 8.8% untuk keseluruhan 2022 disokong oleh semua subsektor, dengan subsektor kejuruteraan awam bertukar kepada pertumbuhan positif sebanyak 2.7%.  

 

"Berdasarkan perkembangan terkini ini, kami berhati-hati tetapi optimis dan akan terus memanfaatkan kekuatan kami sebagai pengeluar pratuang dan IBS terkemuka di Sarawak dan Sabah dilengkapi dengan rekod prestasi kami dalam projek EPCC untuk membida pekerjaan,” katanya.

 

Sehingga Januari 2023, SCIB mempunyai nilai kontrak sebanyak RM387.96 juta dengan keterlihatan pendapatan sehingga 2026. -DagangNews.com