Pendapatan Inari dijangka lebih baik pada FY24 dipacu pelbagai portfolio, RHB Investment naik taraf saranan kepada ‘beli’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Inari dijangka lebih baik pada FY24 dipacu pelbagai portfolio, RHB Investment naik taraf saranan kepada ‘beli’

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Kepelbagaian portfolio Inari Amertron Berhad dijangka membuahkan hasil, memacu pertumbuhan dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24), kata RHB Investment setelah meningkatkan unjuran pendapatan dan naik taraf saranan kumpulan kepada ‘beli’.          

 

Walaupun cabaran jangka pendek penghantaran telefon pintar masih berterusan, firma penyelidikan itu menjangkakan prospek Inari pada FY24 didorong oleh program/pelanggan dan pengembangan baharu di China.

 

“Kami meningkatkan [unjuran] FY24-25 sebanyak 5.7% sehingga 14% selepas mengambil kira sumbangan daripada portfolio produk baharu dan usaha samanya di China.

 

“Risiko kelemahan utama ialah kontrak tidak diperbaharui, pergerakan pertukaran mata wang asing tidak menguntungkan dan pesanan lebih lemah daripada yang dijangkakan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu, bergantung pada pemuatan volum dan masa pengeluaran besar-besaran, program baharu Inari boleh menyumbang sehingga 10% daripada hasil kumpulan.

 

Sementara itu, usaha samanya di China, iaitu kilang Yiwu Semiconductor International Corp mengikut jadual untuk disiapkan menjelang 1HFY24, dengan audit pelanggan menjelang 2QFY24, di mana pengurusan kumpulan menjangkakan peningkatan pengeluaran pantas, disokong oleh syarikat China tempatan dalam sektor telefon pintar dan automotif.

 

Manakala, Inari MIT yang dimiliki 51% telah memulakan operasi di kilang P21 dengan pelbagai pelancaran produk baharu dalam pemesinan tersuai.

 

RHB Investment berkata, Inari kini sedang membina bangunan 11 tingkat baharu (tujuh tahap pengeluaran) di P34 Blok D, memperluaskan kilang P34 kepada keseluruhan 1 meter kaki persegi, manakala kilang baharu dibina atas tanah baharu berdekatan dengan P34.

 

Di Amertron Filipina, bangunan empat tingkat baharu sedang dalam peringkat perancangan dan akan memenuhi keperluan modul kuasa dan produk optoelektronik.

 

RHB Investment menaikkan taraf saranan saham Inari kepada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM3.62 sesaham daripada RM2.31.

 

Pada waktu penulisan, saham Inari susut 1 sen atau 0.3% kepada RM3.03, memberikannya permodalan pasaran RM11.3 bilion.  - DagangNews.com