KUALA LUMPUR 31 Julai - Pendapatan Chin Teck Plantations Berhad pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) adalah dalam jangkaan AmInvest Research, justeru ia mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) tidak berubah pada RM7.55 sesaham.
AmInvest berkata, keuntungan bersih kumpulan itu telah menjunam 52.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM39.7 juta pada 9MFY23 disebabkan harga produk sawit lebih rendah, kos baja tinggi dan perbelanjaan pentadbiran meningkat.
Menurut firma penyelidikan itu, purata harga minyak sawit mentah (MSM) direalisasi telah merosot 22.3% kepada RM4,028 setiap tan dalam 9MFY23 daripada RM5,184 setiap tan dalam 9MFY22.
“Dari segi positif, pengeluaran buah tandan segar (BTS) meningkat sebanyak 16% YoY pada 9MFY23 memandangkan hasil BTS melantun semula,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu berkata perbelanjaan pentadbiran melonjak 38.1% YoY kepada RM25.9 juta pada 9MFY23 berikutan pengambilalihan Fauzi-Lim Plantation yang bernilai RM45 juta dan telah siap pada Januari 2023.
“Selain itu, Chin Teck memperoleh keuntungan bersih yang lebih kecil dalam syarikat bersekutu sebanyak RM300,000 dalam 9MFY23 berbanding RM6.5 juta dalam 9MFY22.
“Ini berpunca daripada gangguan dalam aktiviti penuaian di Indonesia akibat pergolakan di ladang-ladang jiran,” jelasnya.
Membandingkan 3QFY23 dan 2QFY23, AmInvest berkata keuntungan bersih kumpulan itu meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM11.4 juta, didorong oleh kadar cukai terpakai yang merosot kepada 16.9% pada 3QFY23 daripada 45.8% pada 2QFY23.
Bagaimanapun, purata harga MSM direalisasi meningkat kepada RM4,080 setiap tan dalam 3QFY23 daripada RM3,965 setiap tan pada 2QFY23. Sebaliknya, pengeluaran BTS menjunam sebanyak 20.4% QoQ kepada 37,992 tan dalam 3QFY23.
Pada waktu penulisan, saham Chin Teck tidak berubah pada RM7.90, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM721.8 juta. - DagangNews.com








