KUALA LUMPUR 10 Ogos - Pendapatan bersih Sentral REIT menyusut 4.4% kepada RM17.6 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berbanding RM18.45 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, disebabkan kos kewangan dan perbelanjaan utiliti yang lebih tinggi.
Sementara itu, pendapatan seunit (EPU) REIT tersebut pada suku tersebut adalah 1.65 sen, susut daripada 1.72 sen.
Secara kumulatif, pendapatan bersih Sentral REIT bagi separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) menurun 9.1% kepada RM35.3 juta daripada RM38.8 juta.
REIT tersebut mengisytiharkan pengagihan seunit (DPU) sebanyak 3.19 sen bagi 1HFY23 yang bakal diagihkan pada 18 September 2023. Tarikh tutup buku telah ditetapkan pada 25 Ogos 2023.
Syarikat pengurusan REIT berkenaan, Sentral REIT Management Sdn Bhd (SRM) berpendapat bahawa prestasi keseluruhannya kekal berdaya tahan walaupun dalam keadaan operasi yang mencabar dan persekitaran kadar faedah yang tinggi.
“Operasi Sentral REIT akan terus dikekalkan, didorong sumbangan sihat daripada hartanah KL Sentralnya dan akan diperkukuhkan lagi dengan kemasukan Menara CelcomDigi setelah selesai proses pengambilalihan.
“Tertakluk kepada perolehan kelulusan yang diperlukan, pengambilalihan Menara CelcomDigi dijangka selesai dan menyumbang pendapatan kepada Sentral REIT menjelang akhir 2023,” ulas Pengerusi SRM, Tan Sri Saw Choo Boon dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SRM, Derek Teh Wan Wei mengulas bahawa REIT tersebut memiliki kira-kira 162,000 kaki persegi atau 10% daripada jumlah kawasan boleh disewa bersih (NLA) yang akan diperbaharui pada tahun 2023, dengan kira-kira 47% daripadanya perlu dibayar pada separuh pertama tahun ini.
“Sentral REIT mencapai kadar pembaharuan sebanyak 98% untuk NLA yang perlu dibayar pada 1H 2023. Kadar purata penghunian pada 30 Jun 2023 telah dikekalkan pada 77% berbanding suku pertama 2023,” ujar beliau.

Menurut Derek, purata kos hutang Sentral REIT dikekalkan pada 4.44% setahun berbanding suku sebelumnya tetapi lebih tinggi daripada suku tahun sebelumnya disebabkan kesan kadar dasar semalaman (OPR) yang lebih tinggi pada 2023.
“Semakan tetap akan dijalankan untuk menyediakan gabungan optimum peminjaman kadar tetap dan terapung, walaupun OPR dijangka kekal pada 3% sehingga akhir tahun,” tambahnya.
Sentral REIT didagangkan naik 0.5 sen atau 0.6% kepada 84.5 sen pada waktu penulisan, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM905.7 juta. - DagangNews.com








