Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Okt. - LPI Capital Bhd. mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM105.38 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, peningkatan 22.9% daripada RM86.18 juta yang direkodkan suku sebelumnya.
Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Teh Hong Piow berkata, ia dipacu oleh hasil kukuh daripada unit insurans dan dividen yang lebih tinggi daripada pelaburannya.
"Suku ketiga adalah masa yang sangat sukar dengan perintah kawalan pergerakan yang berterusan, penutupan sempadan dan pemberhentian pengeluaran yang mengakibatkan kesan yang besar kepada perniagaan Malaysia.
"Sekatan pergerakan telah banyak mengganggu aktiviti pengembangan perniagaan kumpulan.
"Namun, di sebalik banyak tentangan yang dihadapi dalam pandemik yang berpanjangan ini, LPI Group terus mencatatkan peningkatan prestasi untuk suku ketiga tahun kewangan 2021," katanya dalam kenyataan di sini hari ini
Bagi suku di bawah semakan, perolehan syarikat naik 8.1% kepada RM427.9 juta berbanding RM395.8 juta disokong oleh peningkatan72.3% dalam pendapatan pelaburan berjumlah RM32.5 juta.
Pulangan ke atas ekuiti bersih kumpulan juga naik sedikit daripada 4.9% kepada 5.1% berbanding suku sama tahun lalu manakala pendapatan sesaham meningkat daripada 21.63 sen kepada 26.45 sen.
LPI berkata, sekatan yang berpanjangan serta aktiviti ekonomi yang lebih perlahan pada suku tersebut mempengaruhi permintaan produk insurans kerana anak syarikat insuransnya Lonpac Insurance Bhd mencatatkan pengurangan pendapatan premium kasar sebanyak 6% kepada RM357.9 juta.
Pendapatan premium perolehan bersih syarikat insurans meningkat sedikit sebanyak 0.7% kepada RM255.9 juta.
"Walau bagaimanapun, PKP yang ketat juga menyebabkan tuntutan yang lebih rendah dilaporkan dengan nisbah tuntutan Lonpac meningkat dengan ketara kepada 33.6% daripada 39.5% pada suku yang sama tahun lalu.
"Kedua-dua insurans insurans motor dan perubatan terus mencatatkan nisbah tuntutan lebih rendah, yang menyumbang kepada keuntungan yang lebih baik," katanya.-DagangNews.com








