KUALA LUMPUR 13 Jun - Pendapatan Bermaz Auto Berhad dalam tahun kewangan berakhir 30 April 2023 (FY23) melebihi jangkaan Kenanga Research, terutamanya didorong oleh pertumbuhan jualan Mazda.
“Keputusan FY23 kumpulan itu mengatasi jangkaan, dengan pendapatan melebihi ramalan kami dan anggaran konsensus sebanyak 21% dan 14%, masing-masing. Varians utama terhadap ramalan kami datang daripada volum jualan yang lebih tinggi daripada jangkaan,” katanya dalam nota hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih teras Bermaz Auto meningkat hampir dua kali ganda tahun ke tahun (YoY) dipacu oleh permintaan kukuh untuk kenderaan Mazda, Peugeot dan Kia, serta margin yang lebih tinggi.
Tambahnya, syarikat bersekutunya yang sebahagian besar diwakili oleh Mazda Malaysia Sdn Bhd mencatatkan peningkatan sumbangan keuntungan lebih dua kali ganda, didorong oleh pengeluaran kenderaan yang lebih tinggi memandangkan ekonomi dibuka semula.
Menurutnya, kumpulan itu telah mencapai rekod jualan sebanyak 21,400 unit pada FY23 dan menyasarkan jumlah lebih tinggi bagi FY24 iaitu sekurang-kurangnya 23,000 unit, dipacu oleh pelancaran beberapa model baharu daripada ketiga-tiga jenama kereta itu.
“Kami meningkatkan unjuran keuntungan bersih bagi FY24 sebanyak 3%, menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM3.10 sesaham daripada RM2.90 dan mengulangi saranan ‘outperform’,” tambahnya.
Jelasnya, unjuran tersebut disemak naik selepas andaian volum jualan firma itu dinaikkan sebanyak 15% kepada 23,000 unit daripada 20,000 unit, sebahagiannya diimbangi oleh kos jualan yang lebih tinggi, dengan mengandaikan kelemahan mata wang ringgit berbanding yen daripada asas lebih tinggi.
Selain itu, firma itu turut memperkenalkan keuntungan bersih FY25 pada RM282.6 juta dengan andaian volum jualan sebanyak 23,400 unit
Mengulas mengenai prestasi kumpulan, firma itu berkata permintaan kukuh untuk ketiga-tiga jenama kereta itu menyaksikan lonjakan pendapatan sebanyak 53% tahun ke tahun (YoY) dan 10% suku ke suku (QoQ) pada suku keempat berakhir 30 April 2023, sebahagian besarnya daripada sumbangan jualan Mazda.
Dari segi pecahan geografi, Kenanga Research berkata jualan Bermaz Auto di Malaysia melonjak 47% YoY dengan 19,688 unit dan Filipina catat peningkatan 29% YoY kepada 1,682 unit berikutan kedua-dua negara membuka semula ekonomi mereka.
Firma itu berpendapat bahawa pasaran pertengahan premium jenama Mazda mempunyai tawaran terbaik, iaitu produk yang menarik kepada kumpulan berpendapatan sederhana namun memiliki margin lebih tinggi daripada syarikat lain dalam kategori sama, dan hasil dividen menarik pada kira-kira 9%.
Setakat pukul 3:18 petang ini, saham Bermaz Auto naik 1 sen atau 0.5% dengan permodalan pasaran berjumlah RM2.6 bilion. -DagangNews.com








