KUALA LUMPUR 12 Mei - Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dijangka menyaksikan semakan pendapatan sehingga 3% bagi bank domestik, menurut Kenanga Research.
Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar tersebut sebanyak 25 mata asas kepada 2% daripada paras rendah 1.75% yang dikekalkan sejak Julai 2020.
Penganalisisnya, Clement Chua berkata, pelabur akan bertindak balas secara positif terhadap OPR yang lebih tinggi, diperkukuhkan lagi dengan prospek pendapatan yang lebih baik yang boleh dilihat dengan kenaikan kadar seterusnya.
Walaupun mengekalkan unjuran utama lain tidak berubah buat masa ini, namum beliau menjangkakan mungkin terdapat beberapa hakisan dalam margin faedah bersih (NIM) dalam tahun kewangan 2023 kerana persaingan untuk deposit mungkin terus sengit.
"Namun, OPR yang lebih tinggi akan menyokong keuntungan margin yang dilihat sejak paras OPR pada 1.75% yang mana produk deposit telah dinilai semula secara progresif dengan cekap berbanding produk pembiayaan.
"Kami telah menunjukkan penilaian yang lebih tinggi dalam laporan Strategi Perbankan yang dikeluarkan April 2022 dan kami percaya peluang untuk keuntungan modal masih ada," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : BNM naikkan OPR kepada 2% daripada paras terendah 1.75%
Menurut Chua, kenaikan OPR adalah lebih cepat berbanding 2 kali kenaikan yang dijangkakannya pada separuh kedua 2022.
Jelasnya, langkah pengetatan itu berkemungkinan akan menghalang kesan inflasi daripada ketidaktentuan harga komoditi dan gangguan rantaian bekalan.
"Kenaikan ini pastinya satu rahmat untuk institusi kewangan kerana mereka dapat menetapkan harga dalam kadar yang lebih tinggi dan meningkatkan pendapatan.
"Kami tidak percaya kenaikan itu akan menjejaskan ekonomi tempatan memandangkan kualiti aset industri masih terurus selepas moratorium," tambahnya.
Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan dengan pilihan utamanya ialah saham RHB Bank Bhd. dan Hong Leong Bank Bhd.
Firma itu memberi saranan 'outperform' kepada RHB Bank dan Hong Leong Bank dengan harga sasaran masing-masing pada RM6.95 dan RM22.85.
"Kejayaan RHB Bank membida lesen bank digital bersama Boost Holdings akan menimbulkan minat yang lebih besar apabila butiran pelan strategiknya tersedia.
"Kami juga berpendapat ia akan menjadi penerima manfaat paling cepat daripada kenaikan OPR memandangkan campuran pembiayaan kadar terapungnya yang lebih tinggi," jelasnya.
Bagi Hong Leong Bank pula, firma itu melihat ia sebagai pilihan yang bertentangan, meskipun dijangka mendapat manfaat daripada permintaan pembiayaan yang kukuh seperti pemain lain.
"Ini kerana nisbah susut nilai pinjaman kasar (GIL) yang lebih baik daripada sebelum pandemik menunjukkan keselamatan kualiti aset yang tinggi sekiranya berlaku sebarang kemerosotan yang tidak diduga akibat COVID-19 atau makro global yang mungkin menjejaskan keseluruhan prospek kualiti aset," katanya. - DagangNews.com








