Pendapatan Apex Healthcare dijangka lebih rendah pada 4QFY23 berikutan permintaan produk penjagaan kesihatan tidak menentu – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Apex Healthcare dijangka lebih rendah pada 4QFY23 berikutan permintaan produk penjagaan kesihatan tidak menentu – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - AmInvestment Bank Research menjangkakan hasil dan pendapatan Apex Healthcare Berhad lebih rendah pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23).

 

Firma penyelidikan itu berkata ini disebabkan oleh prospek permintaan produk penjagaan kesihatan pengguna yang tidak menentu memandangkan pertumbuhan ekonomi perlahan dan sentimen pengguna lemah.

 

Tambahnya, penurunan kes selesema di Malaysia boleh menjejaskan jualan ubat-ubatan berkaitan flu pada 4QFY23.

 

Mengulas tentang prestasi kumpulan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), AmInvestment berkata keuntungan bersih Apex Healthcare sebanyak RM74 juta adalah dalam jangkaan, menyumbang 79% daripada pendapatan FY23, tetapi mengatasi Street pada 87%.

 

Menurut firma itu, dari segi sejarah, 9M menyumbang 65% hingga 74% daripada keuntungan bersih teras FY18 hingga FY22.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) lebih lemah daripada 1HFY23 akibat permintaan semakin lemah untuk kedua-dua produk penjagaan kesihatan pengguna dan ubat berkaitan selesema.

 

"Serta pelupusan sebahagian perniagaan ortopedik kumpulan [Straits Apex] pada Mei 2023, mengurangkan kepentingan berkesan Apex kepada 16% daripada 40%," ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Oleh itu, firma tersebut mengekalkan unjuran pendapatan Apex Healthcare bagi FY23F-25 dan  dalam pengiraan keuntungan teras, ia mengecualikan keuntungan sekali sahaja 2QFY23 sebanyak RM304 juta daripada pelupusan Straits Apex.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'pegang' dengan nilai saksama (FV) RM2.64 sesaham, berdasarkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi FY24 sebanyak 20 kali ganda, pada pariti purata lima tahunnya.

 

Pada pukul 11:40 pagi ini, saham Apex Healthcare kekal pada RM2.39 dengan permodalan pasaran berjumlah RM1.7 bilion. - DagangNews.com