KUALA LUMPUR 1 Ogos - Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) mencatatkan pendapatan berjumlah RM1.304 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24), susut 2.1% berbanding setahun sebelumnya.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata, kemersotan pendapatan itu disebabkan oleh ketidaktentuan geopolitik di Laut Merah yang menjejaskan eksport produk makanan dan minuman Malaysia.
Katanya, turut menyumbang ialah kadar pertukaran mata wang yang tidak menguntungkan akibat Baht Thailand yang lemah.
"Pendapatan F&B Malaysia bagi 3QFY24 turun 2.5% kepada RM730 juta (3QFY23: RM748.8 juta) terutamanya disebabkan oleh cabaran segmen eksport dan permintaan yang lebih aibat krisis perkapalan Laut Merah dan kenaikan caj pengangkutan laut.
"Walau bagaimanapun, domestik terus mengekalkan momentumnya untuk kategori minuman dan tenusu merentas semua saluran, disokong kempen pemasaran yang berjaya dan peningkatan penembusan outlet," jelasnya.
Sementara itu, Kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih yang lebih tinggi pada 3QFY24 berakhir 30 Jun 2024.
"Keuntungan selepas cukai Kumpulan untuk 3QFY24 meningkat sebanyak 19.9% kepada RM123.7 juta (3QFY23: RM103.2 juta) walaupun perbelanjaan cukai lebih tinggi disebabkan oleh tamat tempoh insentif Lembaga Pelaburan (BOI) untuk F&B Thailand pada suku semasa," ujarnya.
Mengenai prospek, F&N berkata, prestasi kukuh Kumpulan pada separuh pertama dipacu oleh jualan perayaan.
"Prestasi 3QFY24 mencerminkan momentum yang diperoleh pada separuh pertama; walau bagaimanapun, ia telah terjejas oleh ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan eksport, ekonomi Thai yang lebih lemah dan jualan masuk awal untuk hari raya ke 2QFY24," katanya.- DagangNews.com